Header Ads

Vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak bakal tersedia Jun ini

 BioNTech menjangkakan vaksin Covid-19 yang dibangunkan bersama Pfizer akan tersedia untuk kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun di Eropah bermula Jun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ugur Sahin berkata, vaksin berkenaan kini berada di fasa terakhir untuk persediaan permohonan bagi kelulusan pihak berkuasa Eropah.

Katanya, penilaian untuk data ujian mengambil masa purata antara empat hingga enam minggu.



Vaksinasi kanak-kanak dipandang sebagai langkah penting seterusnya ke arah imuniti kelompok dan menamatkan wabak.

Prospek mendapatkan anak-anak yang lebih tua diinokulasi sebelum bermulanya tempoh persekolahan berikutnya juga akan meringankan tekanan pada ibu bapa yang menyeimbangkan tuntutan pembelajaran di rumah dan melaksanakan tanggungjawab terhadap kerjaya mereka.

"Sangat penting untuk membolehkan anak-anak kembali ke kehidupan sekolah normal dan membolehkan mereka bertemu dengan keluarga dan rakan," kata Sahin kepada majalah mingguan Der Spiegel.

BioNTech / Pfizer sudah memohon kebenaran Amerika Syarikat (AS) untuk kegunaan kecemasan bagi kanak-kanak berumur 12 hingga 15 tahun awal bulan ini.

Sahin berharap dapat menyerahkan permintaan serupa kepada Agensi Ubat Eropah (EMA) pada Rabu depan, katanya kepada Spiegel.

Langkah itu dilakukan selepas BioNTech dan Pfizer pada akhir Mac mengumumkan bahawa ujian klinikal fasa ketiga vaksin mereka untuk kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun menunjukkan bahawa ia 100 peratus berkesan dalam menangkis penyakit ini.

Kedua-dua syarikat juga berlumba-lumba mendapatkan kelulusan untuk kanak-kanak lebih muda, dari enam bulan ke atas.

"Pada Julai, hasil pertama untuk kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun boleh didapati, dan hasil untuk anak-anak yang lebih muda pada bulan September," katanya.

Ujian yang sedang dijalankan setakat ini menunjukkan hasil 'sangat memberangsangkan', kata Sahin.

Katanya, ia menunjukkan bahawa 'kanak-kanak dilindungi dengan baik oleh vaksin'.

Suntikan BioNTech / Pfizer didasarkan pada teknologi mRNA novel dan menjadi vaksin Covid-19 pertama yang diluluskan di Barat akhir tahun lalu.


-HMETRO-

No comments

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998

Powered by Blogger.