DINOSAUR DI SEMENYIH

by - Friday, July 06, 2018

MELIHAT gambar-gambar dinosaur yang seakan-akan realiti di laman sosial rakan kerjanya, mendorong Mohd. Samsul Anuar, 35, untuk melihat lebih dekat Dinosaur Kingdom di Setia EcoHill, Semenyih, Selangor.

Empat anaknya yang berumur 13 tahun ke bawah, sememangnya suka apa sahaja berkaitan dinosaur.

Hajat anak-anaknya untuk melihat dinosaur tercapai apabila Mohd. Samsul membawa keluarganya berkunjung ke Dinosaur Kingdom baru-baru ini.

Menurut lelaki yang berasal dari Selangor itu, Dinosaur Kingdom merupakan sebuah destinasi sesuai untuk kanak-kanak dan remaja bersantai bersama keluarga.


“Saya sanggup datang dari Bukit Jelutong, Shah Alam semata-mata untuk melihat taman tema Dinosaur Kingdom di Eco Hill, Semenyih, Selangor ini.

“Walaupun memakan masa hampir dua jam untuk sampai ke sini tetapi sangat berbaloi kerana tempat ini sangat seronok dan banyak aktiviti boleh dilakukan,” katanya yang bertolak dari rumah pada pukul 11 pagi.

Jelas Mohd. Samsul, anak-anaknya leka bermain sejak mereka sampai hingga ke hari semakin senja.

“Mereka begitu seronok apabila dapat melihat dengan lebih dekat dinosaur-dinosaur replika dan yang bergerak memakai kostum seolah-olah ia adalah dinosaur sebenar.

Pelbagai tarikan
“Anak saya paling suka pelampung bot dinosaur kerana mereka menaiki pelampung itu di sebuah kolam besar di tengah-tengah taman tema ini. Sehinggakan tidak mahu turun setelah tamat waktu,” ujarnya yang bekerja sendiri itu.

Kunjungan ke Dinosaur Kingdom itu amat berbaloi meskipun dia bersama keluarganya penat berjalan kaki meneroka segenap lokasi menarik yang ditawarkan.

Taman tema Dinosaur Kingdom itu mula dibuka hingga 8 Julai ini sahaja.

Ia menawarkan hampir 20 tarikan di sepanjang enam zon bertema iaitu permainan luar, tempat utama, permainan karnival, makanan dan minuman, pertunjukan langsung dan pusat pendidikan.

Pengasas Dinosaur Kingdom, Shas Fung berkata, dia bersama krunya menyiapkan segala kelengkapan dari segi logistik dan susun atur permainan hampir tiga minggu.

“Namun, semua itu berbaloi kerana pada hari pertama pembukaan, seramai 6,000 pengunjung hadir menyaksikan taman tema dinosaur seluas 35 hektar itu.

“Saya juga tidak menyangka kehadiran amat menakjubkan kerana tempat ini agak jauh dari bandar dan ia merupakan penempatan baharu yang diuruskan oleh syarikat perumahan SP Setia Bhd.,” jelasnya yang telah hampir sembilan tahun terlibat dalam pengurusan taman tema.

Dalam pada itu, Shas berkata, kini hampir 35,000 pengunjung telah datang ke Dinosaur Kingdom dan menyasarkan 50,000 sehingga tempoh akhir nanti.

Promosi
“Kita banyak mempromosikan Dinosaur Kingdom menerusi media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter.

“Melalui platform tersebut, pengunjung boleh melihat maklum balas orang ramai yang datang sama ada positif atau sebaliknya,” ujar Shas.

Harga tiket masuk adalah RM30 untuk setiap orang baik dewasa mahupun kanak-kanak tetapi untuk ahli keluarga yang datang empat orang diberi diskaun sebanyak RM20.

Jelas Shas, setiap pembelian tiket akan disertakan dengan dua token iaitu untuk permainan yang ada di dalam taman tema tersebut.

“Kebanyakan permainan hanya perlukan dua token sahaja. Jika token habis digunakan, mereka perlu membeli di kaunter dan dijual pada harga RM3 bagi satu token.

“Kita mempunyai hampir 15 permainan bertoken mengikut zon-zon tertentu. Antaranya ialah Raptor Maze, panjat pterosaur’s nest, bot pelampung dinosaur, kereta api tricerator, adventure park, pulau drif dan empat permainan karnival,” katanya.

Walau bagaimanapun Shas berkata, pihak SP Setia Bhd. banyak membantu mempromosikan taman tersebut selain merupakan tuan rumah kepada tapak Dinosaur Kingdom yang mereka anjurkan itu.

Tidak hanya tertumpu kepada permainan kanak-kanak, wayang mini pertunjukan teater disediakan oleh Dinosaur Kingdom turut menjadi tarikan.

Seorang pengunjung, Nur Safa Irdina Ramizu, 21, berkata, pertunjukan teater mengenai dunia realiti dinosaur menarik minatnya untuk masuk ke wayang mini itu.

“Persembahan mereka sangat menarik dengan cahaya lampu yang berwarna-warni, kesan bunyi menakutkan dan watak yang dilakonkan sangat menyentuh perasaan.

“Kisah sikap manusia membunuh binatang yang semakin pupus dapat mendidik penonton agar menyayangi haiwan,” jelasnya yang datang bersama rakannya, Amirullah Hakim Hakimi, 25,.

Safa Irdina yang berasal dari Terengganu menambah, permainan 4D adventure park merupakan pengalaman yang tidak boleh dilupakan.

Jelasnya, permainan itu membenarkan pengunjung memilih lapan tema permainan yang kesemuanya menyeramkan.

“Untuk tema hutan, saya umpama menaiki roller coaster sebenar di dalam hutan tebal dengan pelbagai halangan seperti ular, dinosaur dan lembing.

“Sewaktu menonton pertunjukan tersebut, kerusi yang saya duduk bergerak dan kesannya terasa, terutamanya apabila roller coaster di skrin diserang haiwan-haiwan itu,” ujarnya.

Meskipun pengembaraan setiap permainan itu berdurasi selama 13 minit tetapi memberi kepuasan kepada pengunjung apabila ‘peralatan’ yang digunakan dapat membantu pengunjung menjiwai permainan tersebut.

Menghabiskan masa hampir setengah hari di Dinosaur Kingdom itu, Safa Irdina berasa puas dengan hiburan yang ditawarkan selain dapat melepaskan tekanan bekerja.

Taman fantasi Dinosaur Kingdom menawarkan lebih 20 permainan yang menarik kepada ahli keluarga bersantai bersama anak-anak kecil.

Horizon - KOSMO!

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998