dari paper... DOMINAR D400 CURI TUMPUAN

by - Tuesday, May 29, 2018

Sekian lama menyepi, akhirnya Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) mula mengorak langkah bersaing bersama pemain industri yang lebih dominan menguasai pasaran dua roda.

Tetapi perlu diingat, MODENAS juga pernah menguasai pasaran tempatan satu ketika dulu sebelum ditinggalkan pesaing.

Kini, MODENAS kembali dengan tawaran beberapa jentera yang dianggap mampu mencuri perhatian seperti Dominar D400.

Motosikal berkuasa 400cc ini adalah model kedua berkuasa tinggi milik MODENAS selepas Jaguh 175 yang dilancarkan pada 1999.


Peluang sekumpulan media permotoran menung­gang uji Dominar D400 ke Bentong, Pahang, merungkai persoalan mengapa jentera ini dikategorikan sebagai Sport Tourer.

Secara kasarnya, ia dilihat seakan-akan model naked dengan rekaan perumah lampu hadapan tanpa sebarang tabir angin yang kebiasaannya ada pada sebuah motosikal touring.

Namun, ketiadaan komponen itu bukanlah alasan untuk jentera ini tidak boleh ditunggang jarak jauh.

Buktinya apabila perjalanan dari Glenmarie, Shah Alam menuju ke Rendang To’ki di Bentong, Pahang diharungi dengan selesa dan menyeronokkan.

Kuasa jentera di lebuh raya boleh dianggap terbaik apabila enjin 373cc sejukan cecair yang menyalurkan kuasa 35PS pada 8,000 rpm menjalankan tugasnya de­ngan cemerlang.

Malah, pendakian di sepanjang Lebuhraya KL-Karak tidak menjadi masalah apabila motosikal ini didatangkan bersama daya kilas maksimum 35Nm pada 6,500rpm.

Dengan teknologi Digital Triple Spark (DTS-i), gegaran enjin hampir tidak dirasai walaupun ketika rpm tinggi atau pendikit dipulas secara agresif.

Ini disebabkan teknologi DTS-i memastikan pembakaran lebih sempurna dan optimum selain membantu mencapai kecekapan bahan api terbaik.

Kesesakan di pekan Bentong juga tidak menjadi masalah apabila kedudukan pelana yang tinggi memboleh­kan jarak penglihatan lebih luas.

Pada masa sama, teknologi Slipper Clutch yang mengelakkan roda belakang terkunci apabila gear diturunkan secara mendadak membantu penunggang mengawal jentera selain Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran memastikan jarak pemberhentian lebih singkat.

Perjalanan pulang melalui Jalan Lama Bentong membolehkan media menguji kestabilan Dominar D400 ketika mengambil selekoh dan ternyata motosikal ini kekal stabil.

Tangki bahan api 13 liter membolehkan motosikal ini mengharungi jarak perjalanan lebih jauh dan ideal sebagai pengangkutan harian atau tunggangan santai hujung minggu.

Dengan harga RM13,788 tanpa insurans, jentera ketiga hasil kerjasama dengan Bajaj Auto Limited (Bajaj Auto) menawarkan teknologi premium untuk mereka yang mahu bergelar ‘mat motor’.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 3:59 AM

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998