DHARMA KEMBALI?

by - Wednesday, August 05, 2015

BEKAS ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mengaku berminat untuk kembali menyertai kem kejurulatihan sekiranya Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) masih mempercayai kredibiliti dimilikinya.

Ketika ini, Dhaarma dikatakan berada dalam perancangan MHC untuk dilantik semula sebagai ketua jurulatih skuad lelaki, wanita atau remaja kebangsaan selepas organisasi induk hoki negara itu merombak barisan kejurulatihan sedia ada.

Dhaarma yang sebelum ini pernah mendedahkan tidak lagi berminat melatih pasukan negara, kini memilih untuk menyerahkan urusan membuat keputusan berhubung pelantikan tersebut sepenuhnya kepada MHC.

“Saya sudah berjumpa Datuk Ow Soon Kooi (Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan MHC) berhubung perancangan membawa saya kembali membimbing salah sebuah pasukan kebangsaan (lelaki, wanita atau remaja).

“Seperti saya beritahu sebelum ini, kita perlu hormati mana-mana jurulatih yang dilantik oleh Jawatankuasa Kejurulatihan. Sebagai jurulatih, kita tidak boleh ada sikap untuk memilih ‘pemain kegemaran’.

“Datuk Ow Soon Kooi dan Presiden MHC (Datuk Subahan Kamal) sedang memperkemaskan barisan kejurulatihan. Saya tidak kisah jika diberi tugas membimbing pasukan mana sekalipun.

“Saya beri kata putus kepada MHC kerana mahu kembali kepada pasukan kebangsaan. Saya akan tetap memberi yang terbaik sekiranya dipilih pada 15 Ogos nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kelmarin, Kosmo! melaporkan, MHC sudah menyediakan senarai nama untuk melantik ketua jurulatih baharu menjelang Mesyuarat Lembaga Eksekutif yang akan diadakan pada 15 Ogos ini.

Difahamkan, Stephen van Huizen menjadi calon utama untuk membimbing skuad lelaki kebangsaan, manakala Dhaarma pula dikatakan bakal mengemudi pasukan wanita.


Selain van Huizen, dua lagi individu turut disenarai pendek oleh MHC untuk mengendalikan skuad lelaki negara iaitu Tai Beng Hai dan Lim Chiow Chuan.

Bagi skuad wanita pula, pengendali ketika ini yang akan menamatkan kontrak pada Disember depan, Nasihin Nubli Ibrahim turut berada dalam senarai pendek MHC bersama Dhaarma dan Wallace Tan.

Sebagai rekod, kali terakhir Dhaarma mengendalikan skuad lelaki negara ialah pada temasya Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland.

Selepas tamat aksi di Glasgow, Dhaarma ‘direhatkan’ kerana isu prestasi yang tidak menentu. Kosmo!

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998