KAWASAKI VERSYS 650 BERNAFAS BARU

by - Wednesday, July 22, 2015

Kelebihan enjin 650cc, selain mampu ditunggang untuk kegunaan harian atau hujung minggu bagi perjalanan jauh membuatkan Kawasaki Versys 650 menjadi pilihan sejak diperkenalkan pada 2008.

Namun sudah tujuh tahun berlalu dan kini Kawasaki melakukan penambahbaikan kepada model baru Versys 650 bagi keluaran 2015.


Pengolahan reka bentuk ‘selaras’ dengan model Kawasaki Versys 1000 supaya lebih praktikal dan bergaya.


Malah, pelindung angin hadapan yang lebih besar kini boleh disesuaikan ketinggian secara manual dengan melonggarkan dua tombol.


Faktor itu menjadi aspek paling penting supaya jentera itu lebih ergonomik, malah tidak banyak motosikal jenama lain yang mampu bersaing dengannya.


Kerangka belakangnya diperkuatkan bagi memasang kotak simpanan sisi selaras de­ngan kemampuan bebanan yang dipertingkatkan ke 210 kilogram (kg) berbanding dengan 180 kg bagi model terdahulu.


Kawasaki Versys menggunakan sistem pemasangan bagasi bersepadu yang direka khas sebagai sebahagian daripada sub-kerangka supaya lebih kukuh.


Ia membolehkan kotak simpanan rekaan khas dipasang dengan mudah tanpa memerlukan kerang­ka sokongan berasingan.


Sistem pemasangan itu juga memastikan bahagian belakang motosikal kelihatan lebih kemas biarpun kotak simpanan ditanggalkan.


Enjin 649cc DOHC turut mencatatkan pertambahan lima kuasa kuda (hp) selepas menggunakan aci sesondol dan ekzos baru untuk menghasilkan 68 hp.


Kawasaki Versys 650 menawarkan prestasi sempurna dengan penghantaran kuasa yang terbaik menjadikan sebuah motosikal seronok ditunggang.


Ia turut memberi ketenangan ketika menunggang di lebuh raya dan keselesaan dipertingkatkan lagi dengan perlindungan angin hadapan serta pendakap enjin getah yang mengasingkan getaran enjin berkembar selari itu.
Beratnya sekitar 216 kg, ia mungkin dianggap berat sedikit untuk sebuah jentera 650cc kembar, namun masih mudah dikendalikan.


Prestasi kerangka dan sistem gantungan turut dikaji semula bagi memberikan pengendalian yang mantap.


Penyerap hentak ‘menyerong’ di bahagian belakang boleh dilaras dengan menggunakan tombol biarpun ketika menunggang sekali gus memudahkan pelarasan bila membawa pembonceng atau bagasi.


Sistem brek juga dinaik taraf dengan angkup terbaru dan cakera belakang yang lebih besar.


Malah, pemijak kaki ditetapkan lebih rendah dan ke hadapan berbanding model terdahulu bagi memberikan ruangan untuk kaki yang mencukupi.


Kapasiti tangki bahan api sehingga 21 liter yang lebih besar menjanjikan jarak tunggangan melebihi 400 kilometer dan tidak perlu singgah ke stesen minyak secara kerap untuk mengisi petrol.


Kawasaki Versys 650 itu nyata menyerlah sebagai jentera dua roda kembara kelas pertengahan, selain ia satu fakta penting yang harus dipersetujui.


INFO
KAWASAKI VERSYS 650
- ENJIN: Bersesaran 649 cc, empat lejang Dwi-Silinder selari, sejukan cecair.
- KUASA MAKSIMUM: 69 PS pada 8,500 rpm
- TORK MAKSIMUM: 64 Nm pada 7,000 rpm
- TRANSMISI: Enam kelajuan
- PANJANG KESELURUHAN: 2.165 meter
- KETINGGIAN KESELURUHAN: 1.4 meter
- KETINGGIAN TEMPAT DUDUK: 0.84 meter
- BERAT KASAR: 214 kg
- KAPASITI BAHAN API: 21 liter
- HARGA: RM38,369 tidak termasuk insurans

SUMBER

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998