MY AGUSTA BRUTALE 800 DRAGSTER

by - Thursday, January 08, 2015

MENITI hari demi hari sebelum angka tahun berganjak, penulis banyak menghabiskan masa di rumah ibadah dengan mengharapkan rahmat dari-Nya.

Memandangkan kerjaya penulis sebenarnya amat terdedah kepada risiko kemalangan dan pastinya sesiapa pun tidak pernah mahu terlibat dalam kecelakaan jalan raya. Ya, hidup dan mati seseorang sudah pun tertulis sebelum wujudnya kita di muka bumi.

Tidak salah sekiranya penulis sentiasa mengingatkan diri kepada hakikat kitaran kehidupan itu. Lantas, ada juga wujudnya rasa sebal kerana wujudnya alpa kepada keindahan sementara dunia.

Walaupun demikian, setiap apa yang kita lakukan adalah wajar diperhalusi dengan niat ibadah dan bukannya leka dan mendongak sombong dengan apa yang dikurniakan.

Selepas tunduk bermunajat apakah yang mungkin bakal dilalui menjelang tahun baharu, penulis menerima pesanan ringkas untuk menguji Brutale 800 Dragster keluaran MV Agusta. Terukir sedikit senyuman tanda gembira dan sekurang-kurangnya ia dianggap menjadi satu permulaan yang baik pada tahun ini.

Rekaan dramatik

Terbentang di hadapan mata, penulis terpaksa mengelilingi Dragster berkali-kali. Mungkin rasa terlebih kagum dengan rekaan berani yang ditampilkan Dragster.

Terus terang penulis katakan, naked MV Agusta Brutale 800 Dragster memiliki sumber ilham yang mengagumkan. Kekuatan Dragter terletak pada rekaan bahagian belakangnya yang lebih pendek.

Sekali pandang, rekaan berani yang diketengahkan menjadikan ia seakan mustahil untuk membawa pembonceng.

Penulis beranggapan, pembonceng Dragster perlu mengukur saiz badan dahulu sebelum menaikinya. jika gadis itu adalah benar-benar kurus.

Apabila pertama kali melihat gambar Dragster dalam web MV Agusta, penggayaan motosikal ini digandingkan dengan tayar belakang yang lebih gemuk. MV Dragster sebenarnya merupakan evolusi Brutale. Jiwa mekanikal Dragster kekal sama seperti mana Brutale 800 yang menggunakan enjin berkapasiti 798cc tiga silinder sebaris.

Faktor yang memisahkan Dragster baharu daripada Brutale ialah penggunaan tayar Pirelli Diablo Rosso II bersaiz 200/50-17 pada bahagian belakang berbanding Brutale 800 standard  yang menggunakan Pirelli Diablo Rosso II 180 / 55-17. Ciri tersebut merupakan elemen penting kepada keunikan penggayaan di samping memberi impak ketara kepada prestasi casis.

Pengendalian luar biasa

Pertama kali duduk di atas pelana mewah Dragster, lekuk pelana menjadikan penulis selesa di atasnya. Capaian kepada hendal selesa dan menepati konsep tunggangan jentera radikal yang lebih sporty.

Selepas enjin 125 hp dihidupkan, bunyi enjin tiga silinder masih sama seperti mana-mana model MV Agusta lain. Mungkin sesetengah orang tidak terlalu selesa kepada bunyi enjin yang kasar.

Perjalanan dimulakan dengan menempuh laluan trafik bandar. Ketika mencelah, saya terpaksa merapatkan cermin sisi untuk memudahkan pergerakan motosikal di laluan sempit.

Memperoleh peluang memecut, dengan menggunakan quickshifter, saya mampu mencapai kelajuan 160 kilometer sejam (km/j) dengan mudah.

Kali ini, jelas kerja penambahbaikan MV Agusta membuahkan hasil. Sistem quickshifter standard yang digunakan lebih baik daripada sebelum ini.

Ketika memecut, penyampaian kuasa responsif dan memberikan kepuasan walaupun ia berada dalam kategori jentera pertengahan.

Lengkuk kuasa dirasakan lebih fleksibel di mana kuasa pada kitaran enjin rendah masih lagi kuat untuk menarik ke hadapan.

Setiap kali perubahan gear, kadangkala roda hadapan terangkat walaupun ketika perubahan gear dari ketiga kepada gear empat. Hal ini berlaku berikutan kurva tork Dragster yang tinggi dan kadangkala menyebabkan anda terasa jentera ini terlalu ringan. 

Brutale 800 Dragster masih kekal stabil pada kelajuan melebihi 200 km/j. Tindak balas hendal yang tajam amat dihargai daripada model MV Agusta moden ini. Pengendalian di selekoh lebih menyeronokkan daripada Brutale standard dan prestasinya menghampiri ketangkasan F3 800.

Peningkatan sistem elektronik MV Agusta juga dapat dirasakan semakin bertambah baik. Sistem MVICS terkini menawarkan empat tetapan penghantaran jumlah tork dan pemetaan enjin yang berkaitan.

Tiga daripada sintesis yang ditetapkan ialah Sport, Normal dan Rain manakala mod keempat membolehkan penunggang menentukan parameter pilihan sendiri.

Fork Marzocchi 43mm terbalik boleh laras sepenuhnya bergandingan dengan penyerap kejutan Sachs di belakang menjalankan tugas dengan sempurna.

Manakala, brek Brembo rotor berkembar 320 milimeter (mm) dengan angkup empat omboh di hadapan dan rotor 220 mm dengan angkup dua omboh belakang menyediakan kuasa hentian yang mencukupi selain sokongan sistem ABS.

Secara keseluruhannya, Dragster merupakan jentera bergaya dan mampu memikat pencinta motosikal berkuasa tinggi.

Seperti yang diuji, ia merangkumi semua ciri-ciri luar biasa daripada rangkaian Brutale dalam pakej reka bentuk yang lebih berani di bawah personaliti eksklusif jenama MV Agusta.

SPESIFIKASI DRAGSTER 800

Enjin: 798cc 3-silinder sebaris DOHC
Kuasa maksimum: 125 hp @ 11,600 rpm
Tork maksimum: 81 Nm @ 8,600 rpm
Transmisi: Cassette-style 6-kelajuan dengan quickshifter
Tayar: 120 / 70ZR-17 58W (hadapan), 200 / 50ZR-17 75W (belakang)
Berat: 167 kg (kering)
Harga: RM98,500


Sumber - Sinar Harian
Credit image - Autoevolution

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998