TURUN PANGKAH,MHC TERKILAN

by - Friday, August 15, 2014

KONTROVERSI dan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) seperti tidak dapat dipisahkan apabila ada sahaja insiden ‘malang’ yang menimpa badan induk sukan hoki negara itu sejak akhir-akhir ini.

Keputusan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meletakkan skuad hoki negara dalam Kategori B pada temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan bulan depan merupakan satu lagi tekanan yang dihadapi MHC.

Situasi itu menyebabkan MHC perlu membuat bayaran terlebih dahulu kepada MOM sebagai cagaran dan boleh menebus semula wang itu sekiranya melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu mara peringkat separuh akhir.

Setiausaha Kehormat MHC, Datuk Mohd. Johari Abdul Aziz mengakui pihaknya terpaksa menerima hakikat yang telah diputuskan MOM pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif kelmarin.


Katanya, MHC sangat berdukacita dengan keputusan MOM yang mengambil kira prestasi tidak konsisten dipamerkan skuad hoki lelaki biarpun pihaknya telah menyatakan sebab atas kegagalan pada temasya Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland baru-baru ini.

“Kami terpaksa menerima hakikat tersebut (Kategori B). Bagaimanapun, kami berasa dukacita kerana mengetahui standard sebenar kami.

“Kami mungkin tidak memberikan persembahan terbaik pada temasya Sukan Komanwel baru-baru ini tetapi ada sebab-sebab tertentu.

“Kami juga sudah berikan jawapan kami kepada pihak MOM. Kami harap, MOM akan melihat semula kedudukan kami,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sementara itu, Johari mendedahkan bahawa beliau akan membawa usul mengenai tiket ‘Kategori B’ itu ke Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi MHC, Isnin depan.

“Kami akan adakan mesyuarat pada 18 Ogos (Isnin depan) dan mungkin saya akan bawa usul tergempar ini bagi menilai balik keputusan itu.

“Memang wang akan dipulangkan sekiranya kami melepasi sasaran tetapi sudah tentu kami mahu beraksi pada final yang mana ia adalah sasaran kami.

“Sukan Asia adalah kelayakan ke Sukan Olimpik (Rio 2016). Saya akan bawa usul ini dan barulah kami akan fikir tindakan selanjutnya,” jelasnya.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998