SAYA BUKAN FAIZAL

by - Tuesday, August 26, 2014

Penyerang meningkat naik, Muhammad Shahril Saabah (gambar) tidak mahu dibandingkan dengan Faizal Saari yang sudah mencipta nama selaku penyerang utama skuad hoki negara.

Shahril dilihat pengganti terbaik Faizal pada temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan bulan depan selepas penyerang utama itu meminta untuk berehat seketika daripada tugasan skuad negara.

Kedua-duanya dilihat mempunyai persamaan kerana selain berada di posisi penyerang, Shahril juga pakar pukulan sudut penalti, seperti Faizal.


Malah ketua jurulatih sementara skuad hoki negara Arul Selvaraj melabel Shahril pengganti terbaik Faizal.

“Saya sama sekali tak pernah terfikir untuk menggantikan tempat Faizal.

Dia ada cara permainannya tersendiri, begitu juga dengan saya.

“Lagipun Faizal sudah berada dalam kelas tersendiri manakala banyak yang perlu saya belajar.

“Namun sebenarnya lebih baik jika dia ada dalam pasukan.

Sudah pasti skuad negara lebih kuat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Shahril berkata, meskipun senarai akhir 16 pemain yang akan ke temasya belum diumumkan lagi, dia berharap dapat terpilih sekali gus membantu skuad negara meraih pingat emas yang menjamin tempat di Sukan Olimpik 2016 di Rio, Brazil.

“Dalam fikiran saya ketika ini hanyalah mahu membantu skuad negara meraih emas dan saya percaya kami mampu melakukannya,” katanya.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998