MSN KECEWA DENGAN HOKI

by - Friday, August 01, 2014

Selain bengang dengan prestasi skuad hoki negara, tiga sukan lain yang menjadi sandaran untuk menuai pingat emas pada Sukan Komanwel XX turut mengecewakan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong.

Ini menyebabkan sasaran untuk memenangi tujuh pingat emas di Glasgow nampak kelam.

Tiga acara itu, ialah menembak, basikal trek dan gimnastik berirama yang menurut beliau diletakkan sasaran untuk masing-masing mendapatkan sekurang-kurangnya satu pingat emas tetapi gagal merealisasikan sasaran.


"Mereka gagal mencapai sasaran yang telah kita tetapkan. Bagaimanapun, dalam beberapa acara sukan, tarafnya adalah terlalu tinggi seperti menembak dan berbasikal trek.

"Pencapaian (Mohd.) Azizulhasni (Awang) mendapat pingat gangsa adalah sesuatu yang boleh kita banggakan walaupun kita mensasarkan mendapat pingat emas.

"Dia terpaksa bersaing dengan bukan calang-calang pelumba dalam saingan akhir keirin dengan saingan sengit daripada tiga pelumba Australia dan dua pelumba New Zealand," katanya, seperti dilaporkan Bernama.

Zolkples terus berharap atlet-atlet Malaysia lain yang masih bersaing di temasya Sukan Komanwel di sini memberikan saingan terbaik mereka.

Selepas tujuh hari bersaing, kontinjen negara kini berada di kedudukan ke-13 dengan tiga pingat emas, lima perak dan lima gangsa, sementara England berada di kedudukan teratas dengan 38 pingat emas, 35 perak dan 32 gangsa, diikuti Australia (35-32-39) dan Kanada (22-7-22).

Sementara itu, Zolkples berkata MSN bersedia untuk memberi lebih banyak peluang kepada atlet-atlet pelapis berpotensi beraksi dalam mana-mana temasya sukan besar.

"Kami perlu melihat semula sama ada akan terus memberi peluang kepada atlet-atlet lama untuk terus beraksi pada masa akan datang. Bukan kita menidakkan sumbangan atlet-atlet lama yang telah memberi sumbangan kepada negara tetapi akan terus memberi peluang kepada mereka jika mereka masih mahu memberi sumbangan mereka," katanya.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998