KENAPA SEKARANG TANYA KHAIRY

by - Wednesday, August 13, 2014

MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar membidas kelemahan pengurusan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) ekoran polemik yang tercetus berhubung status jurulatih skuad hoki senior negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.

Kelmarin, MHC membuat keputusan merehatkan Dhaarma Raj dan tugasnya diambil alih Arul Selvaraj sebagai pengendali sementara sehingga pihak MHC menemui calon tetap yang dipercayai jurulatih asing.

Bagaimanapun, Khairy mengakui, beliau bimbang senario itu akan menjejaskan persiapan skuad negara menjelang Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan bulan depan.

"Saya tidak kata keputusan itu (merehatkan Dhaarma Raj) tidak betul, cuma kenapa tidak kesan lebih awal?

"Ia bukan satu masalah baharu sehingga Presiden MHC (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah) terpaksa campur tangan.

"Sukan Asia juga tidak sampai 40 hari lagi, ia memang satu perancangan yang lemah," katanya.

Khairy berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia yang akan beraksi pada Sukan Olimpik Remaja 2014 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.

Namun, beliau enggan campur tangan dengan keputusan yang dibuat MHC berhubung status Dhaarma Raj.


"Saya terpaksa terimalah... KBS (Kementerian Belia dan Sukan) hanya bayar gaji.

"Dhaarma Raj mungkin terpaksa melangkah pergi, cuma kenapa sekarang?

"Awal-awal lagi hoki memang tidak menetapkan sebarang sasaran pada (temasya) Sukan Komanwel, jadi kenapa ia dijadikan alasan untuk merehatkan Dhaarma Raj?

"Jika betul ada masalah, tindakan sepatutnya telah lama diambil sebelum ini," jelas beliau.

Keputusan untuk merehatkan Dhaarma Raj diambil MHC ekoran prestasi terumbang ambing dipamerkan skuad negara sejak kebelakangan ini.

Sebagai rekod, skuad negara gagal memungut sebarang mata apabila tewas kesemua perlawanan, sekali gus menghuni tangga tercorot - tempat ke-12 pada Piala Dunia di The Hague, Belanda Mei lalu.

Selain itu, kekalahan mengejutkan kepada pasukan tidak ternama, Trinidad & Tobago pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland baru-baru ini menambah lagi tekanan ke atas Dhaarma Raj.

Selain Arul, MHC juga melantik bekas jurulatih skuad negara, Tan Beng Hai sebagai pengurus pasukan menjelang temasya Sukan Asia kelak.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998