ITU PENDAPAT PERIBADI

by - Saturday, August 02, 2014

 “Itu pendapat peribadi beliau tapi yang pasti kami akan melihat dari setiap sudut sebelum membuat sebarang keputusan.”

Demikian komen Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Nur Azmi Ahmad ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan Majid Manjit Abdullah yang akan mengemukakan usul untuk memecat pengendali skuad negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah pada mesyuarat jawatankuasa itu tidak lama lagi.


Tegas Nur Azmi, pihaknya bersikap neutral dan tidak akan terburu-buru dalam membuat sebarang keputusan berhubung masa depan Dhaarma selepas aksi mengecewakan skuad negara pada saingan Sukan Komanwel di Glasgow.


“Bagi saya, anda tidak boleh melihat hanya kepada prestasi di Sukan Komanwel saja.


“Sebab Dhaarma juga pernah membantu skuad negara terutama barisan pemain remaja meraih banyak kejayaan sebelum ini.


“Pendek kata, MHC akan menilai semua pencapaiannya sepanjang membimbing skuad negara.

“Anda harus ingat, Dhaarma tidak meminta jawatan ini, sebaliknya beliau dilantik melalui perkenan Presiden. Jadi anda perlu bersikap adil dalam membuat sebarang keputusan,” katanya.


Majid menerusi laporan akhbar semalam tanpa berselindung mahu mengemukakan usul untuk memecat pengendali berusia 45 tahun itu dengan alasan utama berikutan kekalahan mengaibkan termasuk 2-4 di tangan pasukan tidak ternama Trinidad dan Tobago pada saingan Sukan Komanwel.

Majid pernah mengumumkan peletakan jawatan bekas jurulatih Paul Revington pada mesyuarat tergempar tahun lalu dan memutuskan bersedia untuk menyingkirkan Dhaarma yang ketika itu menggalas tugas selaku jurulatih skuad remaja serta pengarah program pembangunan 1MAS Lim Chiow Chuan kerana dikatakan menjadi punca peletakan jawatan Revington.


Beliau kemudian menarik semula cadangan untuk memecat Dhaarma dan Chiow Chuan sebelum menyerahkan kepada Presiden MHC Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk menangani isu itu.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998