HOKI KEMBALI KE KATEGORI A

by - Wednesday, August 20, 2014

KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) mendapat perkhabaran gembira apabila skuad negara akan beraksi di bawah tiket kategori A pada temasya Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan bulan depan.

Lebih menggembirakan MHC apabila Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memberikan status kategori A kepada kedua-dua skuad iaitu lelaki dan wanita negara.

Naib Presiden Kanan MHC, Datuk Nur Azmi Ahmad  yang mengesahkan perkara itu mengucapkan terima kasih kepada pihak MOM kerana ‘berfikir dua kali’ sebelum mengembalikan status tersebut.


“Kami telah mengadakan perbincangan dengan Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’far (Presiden MOM), Datuk Sieh Kok Chi (Setiausaha Kehormat MOM) dan Ahli MOM terhadap situasi ini.

“Kami tidak mengemukakan rayuan tetapi kami membentangkan alasan dan jawapan kami untuk kembalikan status kategori A kepada skuad hoki.

“Saya mengucapkan terima kasih kerana hoki kembali beraksi dalam kategori A ke Sukan Asia bulan depan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Terdahulu, MOM membuat keputusan mengejut apabila pertama kali meletakkan skuad hoki negara dalam kategori B ke Sukan Asia 2014.

Keputusan itu sekali gus menyebabkan MHC terpaksa menanggung perbelanjaan sendiri ke Incheon sebelum dibayar semula sekiranya melepasi sasaran yang ditetapkan MOM.

Justeru, MHC telah membuat rayuan kepada pihak MOM agar mempertimbangkan semula status tersebut berdasarkan pencapaian serta kedudukan dalam ranking dunia skuad hoki negara.

Selain itu, MHC turut mengemukakan jawapan kepada MOM atas alasan prestasi tidak menentu skuad lelaki negara yang dipamerkan pada kempen Piala Dunia di The Hague, Belanda, Mei lalu dan temasya Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland baru-baru ini.

Apa yang pasti, keputusan mengembalikan skuad hoki negara beraksi atas ‘tiket A’ itu akan membangkitkan semangat para pemain dalam usaha meraih pingat emas pada temasya Sukan Asia di Incheon.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998