GLASGOW GAGAL!!

by - Monday, August 04, 2014

MISI Malaysia di Glasgow, Scotland gagal. Tujuh pingat emas yang menjadi sasaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan juga Majlis Sukan Negara (MSN) pada Sukan Komanwel 2014 tidak mampu dicapai.

Ia boleh dianggap petanda kurang sihat buat sukan negara yang sebelum ini tampil dengan aksi luar biasa pada temasya yang sama di New Delhi, India empat tahun lalu yang menyaksikan mereka membawa pulang 12 emas.

Paling menyedihkan, acara-acara yang menjadi prospek emas Malaysia tersungkur terutamanya acara badminton perseorangan lelaki, berbasikal keirin, menembak dan juga gimrama.

Untuk memburukkan lagi keadaan, pencapaian kontinjen negara di Glasgow turut dimalukan oleh kontinjen kerdil, Singapura yang berjaya meraih lapan pingat emas menerusi acara yang mereka sertai.

Para pemerhati sukan tanah air menyifatkan kegagalan ini sebagai satu amaran kepada pihak bertanggungjawab terhadap sukan negara agar mengkaji semula sistem latihan atlet negara sebelum menghadapi temasya besar seperti Sukan Komanwel.

Menurut mereka, sistem yang diamalkan sebelum ini terutamanya latihan pusat buat semua atlet tidak boleh diketepikan kerana ia masih relevan, malah sistem tersebut turut diguna pakai oleh kuasa-kuasa besar dalam arena sukan.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan bahawa atlet negara tidak perlu mengadakan latihan pusat memandangkan setiap persatuan sukan memiliki program latihan mereka sendiri.

Namun, pandangan tersebut tidak begitu dipersetujui orang-orang lama dalam kepimpinan sukan kerana latihan pusat tetap penting kerana ia dikawal selia sepenuhnya oleh MSN.

Contoh terbaik ialah ketika Malaysia membuat persediaan menghadapi Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur di mana semua atlet diletakkan di bawah satu bumbung dan dikawal sepenuhnya oleh MSN, dan hasilnya kontinjen negara berjaya meraih 10 emas dan amalan tersebut diteruskan sebelum menghadapi temasya di India empat tahun lalu.

Apa pun, kegagalan di Glasgow harus dijadikan pengajaran berguna, sekali gus memberi ruang kepada KBS dan MSN untuk menilai semula segala kelemahan yang ada kerana dalam tempoh sebulan lagi, Malaysia akan beraksi di Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan.

Pada temasya Sukan Komanwel yang berakhir semalam, England muncul juara keseluruhan dengan 58 emas, 58 perak dan 56 gangsa diikuti Australia dengan 48 emas, 42 perak dan 46 gangsa.

Malaysia berada di tangga ke-12 dengan 6 emas, 7 perak dan 6 gangsa di belakang Singapura yang meraih 8 emas 5 perak dan 4 gangsa.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998