FAIZAL SAARI BERSARA TERUS

by - Wednesday, August 13, 2014

Nama 20 pemain skuad hoki untuk menjalani kem latihan persediaan Sukan Asia 2014 dikeluarkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) semalam, namun nama penyerang sensasi Faizal Saari tiada dalam senarai tersebut.

Difahamkan, penyerang tersebut bukan dipinggirkan oleh jurulatih sementara yang baharu dilantik, Arul Selvaraj tetapi Faizal sendiri memilih untuk tidak disenaraikan.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Setiausaha Kehormat Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Mohd. Johari Abdul Aziz yang ditemui selepas mesyuarat post-mortem Sukan Komanwel bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, di Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.


Kata Mohd. Johari, pihak MHC menerusi Arul telah memujuk Faizal untuk kembali menyertai skuad kebangsaan namun pemain tersebut menyatakan sudah tidak berminat mewakili Malaysia dalam Sukan Asia.

"Faizal sendiri telah mengatakan dia tak mahu main jadi kami tidak senaraikan namanya dan saya berpendapat buat apa lagi untuk kita fikirkan pemain yang tidak berminat untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.

"Setakat mana dia tidak berminat untuk bersama skuad kebangsaan itu saya tidak pasti," kata Mohd. Johari.

Sebelum ini Faizal pernah mendedahkan hasrat untuk bersara dengan memuat naik gambar surat persaraan ke akaun laman Instagram miliknya. Alasan yang diberikannya ialah dia tidak puas hati dengan agihan imbuhan diberikan MHC sebelum ini.

Sementara itu, pengurus skuad kebangsaan, Tai Beng Hai memberitahu pasukan masih mempunyai pilihan penyerang sekiranya Faizal masih dengan pendiriannya untuk tidak bersama skuad hoki kebangsaan pada Sukan Asia 2014.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998