DHARMA BOLEH BEREHAT

by - Tuesday, August 12, 2014

TEKA-TEKI mengenai status Muhammad Dhaarma Raj Abdullah sebagai ketua jurulatih skuad hoki senior negara akhirnya terjawab.

Dalam satu mesyuarat tergempar yang diadakan di Hotel The Royale Chulan, Kuala Lumpur semalam, Ahli Majlis Tertinggi Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) memutuskan Dhaarma Raj ‘direhatkan’ daripada membimbing skuad senior negara.

Menurut Presiden MHC, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, ketua jurulatih skuad remaja negara, Arul Selvaraj (gambar kecil) akan mengambil alih tugas Dhaarma Raj selaku pengendali sementara sehingga pihak MHC menemui calon tetap yang dipercayai jurulatih asing.

Bekas jurulatih skuad negara, Tai Beng Hai pula dilantik sebagai pengurus selain turut ditugaskan membantu Arul bagi mempersiapkan pasukan menjelang Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan bulan depan.

“Secara ringkas mesyuarat hari ini (semalam), kami (MHC) telah memutuskan dua jurulatih sementara (Arul dan Beng Hai) dilantik bagi meneruskan persiapan (skuad negara) ke Sukan Asia dalam masa terdekat sehingga (MHC) menemui pengganti baharu.

“Kedudukan Dhaarma (Raj) akan ditentukan oleh pihak MSN (Majlis Sukan Negara). Banyak andaian telah dinyatakan dan ini tidak mencerminkan petanda positif kepada sukan hoki.

“Saya harap jangan terlalu cepat membuat sebarang andaian dan kita perlu lihat daripada sudut positif untuk sukan ini. Pencapaian di peringkat dunia dan Sukan Komanwel tidak kesampaian.


“Tindakan ini dibuat hanyalah berdasarkan prestasi dipamerkan bukan kerana masalah peribadi.

“Kami amat berterima kasih Dhaarma Raj yang telah mencuba dan saya akui ini berpunca daripada peletakan jawatan Paul Revington,” titah Tengku Abdullah.

Keputusan untuk merehatkan Dhaarma Raj dan melantik Arul serta Beng Hai ekoran prestasi terumbang ambing dipamerkan skuad negara sejak kebelakangan ini.

Sebagai rekod, skuad negara gagal memungut sebarang mata apabila tewas kesemua perlawanan, sekali gus menghuni tangga tercorot - tempat ke-12 pada Piala Dunia di The Hague, Belanda Mei lalu.

Selain itu, kekalahan mengejutkan kepada pasukan tidak ternama, Trinidad & Tobago pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland baru-baru ini menambah lagi tekanan ke atas Dhaarma Raj.

Tengku Abdullah juga mengakui ia merupakan cabaran baharu kepada Arul yang pada masa sama akan meneruskan tugasnya selaku pengendali skuad remaja negara.

“Setiap jurulatih akan merasai cabaran, itulah apa yang diperlukan untuk membina sebuah pasukan bergelar juara. Jika tidak, jangan main, jadi jaguh kampung saja,” jelas Tengku Abdullah.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998