DHARMA BELUM TERTEKAN

by - Friday, August 01, 2014

Jurulatih skuad hoki kebangsaan, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mengakui belum rasa tertekan biarpun dikecam hebat ekoran prestasi hambar skuad kendaliannya pada Sukan Komanwel 2014.

Semalam, skuad negara menutup saingan peringkat Kumpulan B dengan kekalahan 1-6 kepada New Zealand di Stadium Hoki Nasional Glasgow.

Di sebalik kekalahan itu, Dhaarma Raj menggesa pengkritik-pengkritik supaya mengkaji perjalanan skuad negara yang telah mengharungi lima kejohanan utama termasuk Sukan Komanwel sepanjang tahun ini.

Empat lagi kejohanan yang dimaksudkan itu ialah Piala Sultan Azlan Shah, Piala Sultan Johor, Cabaran Juara-Juara dan Piala Dunia.

Tambah Dhaarma Raj, pencapaian skuad hoki di Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan nanti adalah Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) sebenar bagi dirinya.

"Bukan senang bagi seseorang jurulatih mengendalikan pasukan yang mengharungi lima kejohanan utama. Mereka harus sedar dan faham kenapa saya tidak membawa skuad penuh ke Glasgow.

"Mana ada orang berani bawa pasukan yang beraksi dalam lima kejohanan utama. Ditambah lagi dengan beraksi pada bulan Ramadan dan Aidilfitri. Jika ada, saya tabik orang itu.

"Saya sedar tentang risiko yang bakal dihadapi apabila membawa pemain-pemain baharu untuk beraksi di Sukan Komanwel.


"Namun, saya berharap agar mana-mana pihak faham kerana KPI saya sebenar adalah aksi Sukan Asia, bukan Sukan Komanwel," katanya kepada pemberita semalam.

Kelmarin, Majlis Sukan Negara (MSN) mahu mengadakan pertemuan dengan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sebaik kempen Sukan Komanwel berakhir pada 3 Ogos ini.

Ia gara-gara skuad hoki negara dikejutkan dengan kekalahan 2-4 kepada pasukan kerdil, Trinidad and Tobago pada aksi ketiga Kumpulan B di Stadium Hoki Nasional Glasgow.

Apa yang pasti, persembahan anak-anak buah Dhaarma Raj jelas mengejutkan ramai pihak yang mana sesetengah pengkritik menganggap skuad hoki negara tidak sepatutnya tewas kepada pasukan yang berada di ranking ke-29 itu.

Mengulas mengenai prestasi hambar tersebut, Dhaarma Raj menepis dakwaan kononnya berlaku pergolakan dalam skuad kendaliannya yang menyebabkan mereka tewas di tangan Trinidad and Tobago.

"Sejujurnya, kami masih berada dalam suasana harmoni. Tiada sebarang pergolakan berlaku dalam pasukan hoki kebangsaan," katanya.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998