DHAARMA GEMBIRA "DIPECAT"

by - Friday, August 08, 2014

“Saya ‘gembira’ kalau dipecat sekarang, tapi sabarlah dulu kerana saya boleh berundur sendiri selepas Sukan Asia.”

Demikian nada sinis Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menjawab kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Manjit Majid Abdullah yang tetap mahu mencadangkan ketua jurulatih skuad hoki negara itu dipecat sebelum bermulanya temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan bulan depan seperti dilaporkan akhbar semalam. 


Pengendali berusia 45 tahun itu yang sudah masak dengan perangai Manjit yang sering ‘mengganggunya’ sejak 2009 bagaimanapun mahu Naib Presiden MHC itu menilai pencapaiannya sejak membimbing skuad remaja dan senior selepas dikatakan gagal menggalas tugas dengan baik sekali gus mendorong Manjit untuk membawa usul memecatnya. 


“Saya nak tanya kepadanya adakah ada pencapaian lebih baik selain naib juara pada saingan Piala Sultan Azlan Shah ketika pertama kali saya membimbing skuad senior? Ketika zaman Paul Revington, kita muncul naib juara juga.

“Saya ingin tanya lagi, adakah ada pencapaian lebih baik daripada tempat ketiga di Cabaran Juara-Juara 1 ketika saya bimbing pasukan kebangsaan di Kuantan? Tidak ada bukan?


“Adakah kita juga layak ke Piala Dunia secara merit? Juga tidak. Saya bimbing pemain untuk ke Piala Dunia dalam tempoh yang singkat. 

“Kenapa hanya sebab gagal di Sukan Komanwel yang menggunakan pasukan kedua, saya tak habis-habis diserang?” katanya ketika dihubungi semalam. 

Dhaarma juga menyindir Manjit yang mungkin mampu mencari pengendali lebih baik daripadanya bagi membimbing pasukan dalam tempoh tidak sampai 50 hari untuk meraih pingat emas di Sukan Asia sekiranya beliau benar-benar dipecat sebelum bermulanya temasya di Incheon itu. 

“Mungkin orang itu (jurulatih baru) datang dari syurga. Sabarlah, biar saya pikul tanggungjawab untuk Sukan Asia dulu dan bagi ruang kepada pemain supaya tidak kusut kepala memikirkan hal-hal luar padang. 

“Lepas itu, saya lepaskan jawatan dan dia (Manjit) pasti puas hati,” katanya.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998