CONTOH TAK BOLEH IKUT

by - Wednesday, August 13, 2014

Keputusan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) merehatkan ketua jurulatih kebangsaan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah tidak disenangi Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar apabila menganggap persatuan itu membuat perancangan yang teruk.

Menurut Khairy, beliau menerima keputusan MHC untuk menggantikan Dhaarma dengan ketua jurulatih remaja Arul Selvaraj buat sementara namun tindakan drastik itu dilihat tidak sesuai ketika skuad negara mempunyai masa singkat sebelum misi memburu pingat emas Sukan Asia di Incheon bulan depan.



“Saya terpaksa terima (keputusan) walaupun gaji jurulatih dibayar kementerian saya, tapi keputusan dibuat orang lain. Saya terpaksa terima cuma saya sudah maklumkan kepada Presiden MHC (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah) semalam (kelmarin) bahawa ini bukan jalan penyelesaian terbaik dengan menukar jurulatih 40 hari sebelum Sukan Asia bermula.

“Jika masalah itu sudah lama berlaku, keputusan yang tepat sepatutnya diambil sebelum ini. Namun saya lihat pegawai MHC mungkin tidak memaklumkan perkara ini kepada Tuanku dan akhirnya presiden terpaksa campur tangan dengan membuat keputusan yang amat tidak sesuai pada saat akhir seperti ini.


“Saya tidak mengatakan keputusan itu tidak sesuai, tapi proses membuat keputusan 40 hari sebelum Sukan Asia sungguh tidak ideal. Dhaarma mungkin terpaksa melepaskan jawatan berdasarkan prestasi, tapi ini perancangan yang teruk. Ini contoh perancangan teruk yang anda tidak mahu ia dikuti persatuan sukan lain,” katanya kepada pemberita semalam.


Keputusan menyisihkan Dhaarma dibuat menerusi mesyuarat Majlis Tertinggi MHC semalam dengan Arul bakal dibantu Tai Beng Hai untuk mengendalikan skuad kebangsaan sehingga persatuan itu mendapat jurulatih asing secara tetap.

Kedudukan Dhaarma dipersoalkan berikutan prestasi hambar skuad kebangsaan pada Sukan Komanwel di Glasgow, baru-baru ini namun Khairy yang hadir pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Olimpik Remaja di Nanjing, China bermula Ahad ini menganggap itu tidak sepatutnya dijadikan alasan. 

“Ada laporan dihantar semalam (kelmarin) dalam mesyuarat (MHC) itu, saya tidak tahu sebab tidak terbabit dengan jawatankuasa itu. Tapi saya dimaklumkan ada isu yang bukan membabitkan Sukan Komanwel, tapi berlaku sebelum itu lagi mendakwa pemain tidak menghormatinya dan beliau (Dhaarma) mengambil pendekatan salah. Tapi jika ini berlaku, mereka perlu kenal pasti lebih awal.

“Anda sudah tahu tiada sasaran untuk Sukan Komanwel, tapi tiba-tiba temasya itu dijadikan alasan untuk pecat Dharaama. Anda sepatutnya perlu memberi penjelasan lebih awal,” tegas Khairy.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998