CARI PUNCA DAN BETULKAN KEADAAN

by - Tuesday, August 05, 2014

 “Hentikan perbalahan, cari punca dan betulkan keadaan segera kerana Sukan Asia (Incheon) semakin hampir,” itu pendapat bekas pemain hoki kebangsaan Nor Saiful Zaini ketika diminta mengulas mengenai suasana kelam-kabut yang melanda kem negara sejak akhir-akhir ini.

Tanpa mahu berselindung, bekas kapten skuad kebangsaan itu meluahkan rasa sedih berhubung kemerosotan mendadak pasukan negara dalam dua kejohanan utama, di Piala Dunia dan saingan Sukan Komanwel Glasgow yang berakhir semalam. 
Malah, kekalahan mengejutkan 2-4 kepada pasukan diranking ke-29 dunia Trinidad & Tobago dalam Sukan Komanwel memberi petunjuk wujudnya krisis dalaman serius yang perlu ditangani segera sebelum bermulanya cabaran Sukan Asia Incheon dengan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mensasarkan pingat emas temasya itu.



“Memang menyedihkan apabila melihatkan keputusan negatif diraih anak buah Dhaarma Raj ketika ini. Sudah pasti mental pemain dan staf kejurulatihan sekarang berada pada tahap paling rendah. 
“Bagi saya, semua itu berpunca daripada masalah dalaman yang menggangu pasukan negara dan konfederasi (MHC) ketika ini. Persatuan perlu segera menyelesaikan segala kemelut yang berlaku, sama ada ingin menukar jurulatih atau pemain dengan kadar segera sebaik saja berakhirnya Sukan Komanwel. 
“MHC tidak boleh tunggu lagi. Cari punca dan selesaikan cepat kerana Sukan Asia hanya tinggal sebulan. Itupun kalau MHC masih dengan sasaran awal untuk layak ke Sukan Olimpik menerusi emas di Incheon nanti,” katanya.


Nor Saiful yang memiliki 328 caps sepanjang mewakili negara selain pernah menjadi kapten, turut menasihati pemain agar meletakkan kepentingan negara melebihi segala-galanya jika mahu melihat kemajuan dalam sukan ini. 
“Hoki mesti sentiasa berada di depan daripada personaliti dan diri sendiri. Jika falsafah itu diterapkan dalam jiwa setiap pemain, saya yakin masalah dalaman dapat diatasi kerana pemain akan fokus bermain demi hoki dan negara.

“Pemain juga harus faham dalam sukan hoki bukan wang yang patut dikejar sebaliknya minat dan semangat meningkatkan kualiti hoki negara menjadi sandaran utama,” katanya. 
Pada penampilan di Sukan Komanwel kali ini, Speedy Tigers di bawah kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah hanya menamatkan kedudukan ditangga ketujuh, memperbaiki pencapaian empat tahun lalu yang menyaksikan Malaysia sekadar menghuni tangga kelapan di New Delhi, India.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998