BERNAI DAN TEPAT PADA MASANYA

by - Thursday, August 14, 2014

“SATU keputusan yang berani dan tepat pada masanya.” Itulah pandangan kapten skuad hoki negara, Azlan Misron terhadap keputusan tergempar Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) untuk melantik Arul Selvaraj sebagai pengendali sementara pasukan itu.

Ketua jurulatih skuad remaja negara itu mengambil alih tugas Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang ‘direhatkan’ buat sementara waktu sehingga MHC menemui calon baharu yang dipercayai jurulatih asing selepas ini.


Tonggak paling berpengalaman dalam skuad negara itu juga menganggap ia adalah langkah terbaik yang diambil dalam usaha memulihkan maruah sukan hoki yang tercalar ketika ini.

“Arul (sewaktu bersama bekas jurulatih Paul Revington) banyak membantu dan memberangsangkan prestasi kami pada tahap positif.

“Saya percaya jika kami mencatat keputusan baik, orang ramai akan kembali meminati cara kami bermain dan masalah juga tidak akan timbul.

“Mungkin nasib Dhaarma Raj tidak baik sebelum ini tetapi para pemain sendiri perlu juga memberikan aksi yang terbaik. Mungkin ini yang terbaik buat negara ketika ini.

“Tindakan ini hadir tepat pada waktunya sebelum terlambat. Kami akan berikan sokongan yang sama seperti mana Dhaarma Raj,” katanya ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.

Ahli Majlis Tertinggi MHC membuat keputusan tersebut sewaktu mesyuarat tergempar yang dipengerusikan presiden Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Hotel The Royale Chulan, Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

Selain Arul, bekas jurulatih Tai Beng Hai turut dilantik sebagai pengurus pasukan dan pada masa sama akan menyumbang khidmat dalam menyediakan barisan mantap ke Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan bulan depan.

Dalam perkembangan sama, Azlan juga percaya tiada masalah akan timbul dalam kalangan barisan remaja dalam skuad senior untuk menerima kenyataan ini.

“Mereka perlu pandai kawal situasi. Jurulatih saling bertukar ganti tetapi prestasi harus dikekalkan. Mereka juga pernah bersama-sama dengan Arul sebelum ini.

“Fokus kami tetap tidak lari. Kami positif untuk menaikkan semula sukan hoki dan kami akan cuba cipta sesuatu (di Sukan Asia) yang tidak pernah dilakukan oleh skuad-skuad terdahulu,” jelasnya.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0814&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz3AKcaNqHr 
Hakcipta terpelihara 

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998