ARUL TAK MAHU PAKSA FAIZAL

by - Wednesday, August 13, 2014

 Ketiadaan nama penyerang sensasi negara Faizal Saari dalam senarai 20 pemain untuk menghadapi saingan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan bulan depan seperti diumumkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) semalam mencetuskan persoalan, namun ketua jurulatih baru skuad hoki negara Arul Selvaraj mempunyai jawapan ringkas dan tepat.

“Saya tidak mahu memaksa mana-mana pemain yang tak berminat untuk bermain,” tegas Arul ketika diminta mengulas ketiadaan nama Faizal.


Tambah Arul, sebaik dilantik ketua jurulatih negara, beliau serta Setiausaha Agung MHC Datuk Johari Abd Aziz sudah menghubungi Faizal kelmarin dengan tujuan memujuknya kembali menyertai kem latihan skuad negara selepas pemain itu sebelum ini menyatakan hasrat untuk berehat seketika.

Namun, bekas penolong jurulatih skuad negara itu berkata, Faizal belum bersedia beraksi di Sukan Asia dan untuk itu, beliau mengambil ketetapan tidak menyenaraikannya.

“Bagi saya, kemahuan seseorang pemain itu perlu tinggi daripada tahap kemahirannya.



Kalau mereka ada kemahiran, tapi tak ada kemahuan bermain pun tak guna juga.

“Saya fikir tidak perlulah untuk memaksa Faizal bermain.

“Mungkin bila dia ada semangat balik untuk bermain, saya secara terbuka akan menerimanya semula,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jelas Arul, tempat Faizal digantikan dengan Muhammad Shahril Saabah yang juga pakar dalam melakukan pukulan sudut penalti.

Mengulas lanjut ketiadaan nama pemain pertahanan Kevin Lim yang pernah menjadi pilihan bekas jurulatih Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, Arul berkata, ketiadaan pemain itu di Malaysia menyukarkannya untuk menilai aksi sebenar Kevin.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998