ARUL RESAH

by - Tuesday, August 26, 2014

KETIKA Sukan Asia 2014 semakin hampir untuk membuka tirainya di Incheon, Korea Selatan, persiapan skuad hoki negara terus dirundung malang.

Masalah demi masalah terus melanda bermula daripada isu jurulatih serta kekecewaan pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland bulan lalu.

Pengendali sementara skuad lelaki negara, Arul Selvaraj  tidak senang duduk dengan apa yang berlaku dalam skuad bimbingannya ketika ini.

Ketika masalah di luar padang sudah reda, kini masalah kecederaan pemain pula melanda pasukan yang sedang giat membuat persiapan bagi menghadapi temasya di Incheon bulan depan.



Tonggak pertahanan, Meor Muhamad Azuan Hasan antara pemain yang menghadirkan kebimbangan gara-gara kecederaan.

Meor mengalami retak ibu jari tangan manakala dua lagi pemain tonggak, Muhammad Firhan Ashaari dan Mohd. Shahrun Nabil Abdullah belum pulih seratus peratus. Begitupun, Arul tetap membawa ketiga-tiga pemain itu ke Korea Selatan bagi menghadapi ujian pemanas badan sebelum berlangsungnya temasya Sukan Asia 2014.

"Buat masa ini, latihan dan persediaan semuanya berjalan dengan lancar. Firhan dan Shahrun Nabil semakin pulih tetapi kecederaan Meor yang agak merisaukan saya," jelas Arul semalam.

Bermula esok hingga 1 September depan, skuad negara akan berada di Incheon bagi menghadapi aksi persahabatan dengan Incheon City dan Universiti Sukan Negara Korea (KNSU).

Malaysia merupakan pemenang pingat perak acara hoki Sukan Asia selepas tewas 0-2 kepada Pakistan pada perlawanan akhir pada temasya yang sama di Guangzhou, China empat tahun lalu.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998