TIADA SASARAN PINGAT DI GLASGOW

by - Thursday, July 17, 2014

SKUAD hoki negara tidak meletakkan sebarang sasaran pada Sukan Komanwel 2014 yang akan berlangsung di Glasgow, Scotland minggu depan.

Namun, ia tetap tidak menjejaskan fokus mereka untuk tampil memberikan aksi terbaik sepanjang temasya sukan itu berlangsung kelak.


Demikian luahan pemain negara, Muhammad Rashid Baharom menjelang temasya sukan kedua terbesar di muka bumi itu.

“Memang kami tidak meletakkan sebarang sasaran pada temasya kali ini, namun ia tidak bermakna kami akan beraksi sambil lewa. Kami tetap berazam untuk melakukan yang terbaik.

“Kami akan buktikan kemampuan kami kerana ini merupakan aksi terakhir untuk pemilihan ke Sukan Asia selepas ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pemain berusia 22 tahun itu antara pemain pilihan ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah pada Piala Sultan Azlan Shah (Mac) dan Cabaran Juara-Juara 1 (April) sebelum namanya tersisih ke Piala Dunia Hoki di The Hague, Belanda pada Mei lalu.

Justeru, penyenaraian ke Sukan Komanwel kali ini pastinya menjadi peluang terakhir buat Rashid dan pemain yang lain untuk memperagakan aksi sebenar dalam usaha memikat hati Dhaarma Raj untuk ke Sukan Asia pada September depan.

Skuad negara akan membuka kempen Sukan Komanwel dengan menentang Kanada pada 26 Julai sebelum bertemu England (27 Julai), Trinidad & Tobago (29 Julai) dan New Zealand (31 Julai) dalam saingan Kumpulan B.

Manakala Kumpulan A pula terdiri daripada juara bertahan, Australia, India, Wales, Afrika Selatan dan Scotland.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998