PIALA DUNIA HOKI,AHF KAJI KEMEROSOTAN PASUKAN ASIA

by - Thursday, July 03, 2014

Persekutuan Hoki Asia (AHF) bakal mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji prestasi pasukan hoki dan, membuat pelaksanaan penambahbaikan terhadap sukan tersebut di peringkat Asia.

Pemangku Presiden AHF, Tan Sri P. Alagendra berkata, jawatankuasa itu perlu mengkaji masalah yang menjurus kepada prestasi merundum pasukan hoki dari negara asia pada kejohanan Piala Dunia di The Hague, baru-baru ini.

Menurut beliau, banyak persoalan timbul khususnya skuad hoki Malaysia yang tidak menunjukkan sebarang peningkatan dalam ranking dunia apabila masih kekal di tangga ke-12 dunia.


"Jawatankuasa ini akan melantik lima individu berpengalaman yang akan diketuai ahli majlis AHF, Datuk Tayyab Ikram dari Macau. Kita akan kenal pasti semua kelemahan yang timbul, dan semua ahli dikehendaki menzahirkan cadangan bagi penambahbaikan ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis AHF kali ke-66 di sini, semalam.

Sementara itu, Alagendra memberitahu, AHF juga akan mewujudkan muzium yang didedikasikan kepada individu yang banyak menyumbang terhadap perkembangan sukan hoki negara.

Jelasnya lagi, muzium yang bakal siap sepenuhnya pada akhir tahun ini, menempatkan infografik, dan biografi individu yang pernah berjasa dalam sukan hoki, dan akan dibina di Akademi Hoki Raja Ashman Shah dekat Ipoh, Perak.

"Muzium ini akan didedikasikan kepada individu yang telah banyak menyumbang kepada perkembangan sukan hoki negara termasuk bekas Presiden AHF, Almarhum Sultan Azlan Shah. Diharapkan dengan adanya inisiatif seperti ini, anak-anak muda kita berpeluang mengenali tokoh yang telah menabur bakti dalam memartabatkan sukan hoki kepada masyarakat," katanya. ~ UTUSAN

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998