PERANCIS DESTINASI TERBARU PEMAIN HOKI

by - Saturday, July 05, 2014

Ketika keadaan tampak sedikit kecoh berkaitan isu tawaran tidak menjadi dari kelab Belanda kepada dua bintang muda negara Mohd Faizal dan Mohd Fitri Shaari sebelum ini, kini timbul perkhabaran menggembirakan buat skuad Speedy Tigers apabila kelab berpangkalan di Perancis dikatakan merisik beberapa pemain hoki negara.

Berita itu pastinya dianggap peluang keemasan bagi menebus kehampaan Faizal dan Fitri yang terpaksa melupakan hasrat beraksi di Belanda dengan tumpuan kini terarah kepada saingan Liga Hoki Perancis.

Ketua jurulatih kebangsaan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mengesahkan perkembangan positif itu dengan menamakan kelab Racing Club de France sebagai destinasi terbaru yang berminat mendapatkan sentuhan anak didiknya.

“Bagi saya, kita perlu lupakan tawaran Tilburg (kelab Belanda) kerana mereka tidak komited dengan Fitri dan Faizal.

“Namun, yang pasti kelab hoki di Perancis (Racing Club de France) sudah beberapa kali menghubungi saya untuk mendapatkan tiga pemain kita bagi menguatkan cabaran kelab itu dalam liga mereka.

“Memandangkan kempen Liga Perancis bertembung dengan saingan Sukan Asia Incheon September ini, mereka sanggup mengambil tiga pemain yang digugurkan dari skuad Sukan Asia bagi menyertai mereka.

“Ini petanda baik kepada pembangunan sukan hoki negara dan saya akan menghantar tiga pemain yang digugurkan ke sana,” katanya ketika ditemui Arena Metro di Institut Sukan Negara (ISN) Bukit Jalil, semalam.

Sebelum ini, Arena Metro mendedahkan kemelut berhubung keengganan pengurus pasukan Terengganu HT Mohd Saberi Salleh memberi pelepasan kepada pasangan adik beradik itu untuk beraksi di Eropah, sekali gus melenyapkan impian untuk melihat anak Malaysia buat pertama kali bermain di Liga Utama Belanda.

Difahamkan Tilburg teruja selepas melihat aksi Faizal dan Fitri ketika beraksi mewakili negara dalam saingan Piala Dunia di The Hague, Belanda, bulan lalu.



Fitri yang juga bekas kapten skuad remaja Piala Dunia di India tahun lalu, dikatakan berada dalam dilema untuk menerima pelawaan kelab dari Belanda itu kerana dia dan abangnya itu masih mempunyai kontrak dengan Terengganu HT di samping sudah menerima gaji penuh selama semusim.

“Pada hujung bulan ini kami akan berangkat ke Scotland bagi menyertai Sukan Komanwel.


Selesai saja tugas di Glasgow, kami akan berpangkalan di Eropah selama sebulan sebagai persiapan bagi menghadapi Sukan Asia dengan sasaran MHC, pingat emas.

“Skuad negara akan beraksi sekurang-kurangnya 14 hingga 15 perlawanan persahabatan dengan kelab Eropah.


Pada masa sama, saya akan cuba berunding dengan kelab lain yang berminat mendapatkan pemain negara.

“Saya harap segala perancangan sudah diatur ini bakal membuahkan hasil dalam usaha MHC membina pasukan masa depan yang mantap bagi kejohanan besar seperti Sukan Olimpik 2016 dan Piala Dunia 2018,” katanya. METRO

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998