NUR AZMI BERANG

by - Tuesday, July 15, 2014

TIMBALAN Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Nur Azmi Ahmad berang dengan situasi yang bergolak dalam skuad hoki senior negara ketika ini.

Sebelum ini, kapten Azlan Misron telah memutuskan untuk menarik diri daripada mewakili skuad negara dengan alasan tidak dapat memberikan komitmen 100 peratus.

Terbaharu, penyerang negara, Faizal Saari pula menyatakan hasratnya untuk mengikut jejak langkah Azlan dengan alasan tidak berpuas hati dengan agihan imbuhan yang diberikan MHC.


Azmi mengakui tidak mengetahui niat sebenar Faizal itu dan turut menjelaskan, di bawah tampuk pimpinan Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, MHC memberikan insentif yang baik kepada setiap pemain negara.

"Saya tak tahu apa yang berlaku, seperti tidak logik pun ada apabila tiba-tiba berlaku perkara seperti ini (penarikan diri Azlan dan terbaharu, Faizal).

"Saya ada syak sesuatu, mungkin ada seseorang yang cuba untuk mengawal mereka (pemain), jangan sesuka hati buat perkara seperti ini. Kami dah beri banyak dan patut bersyukur dengan apa yang sudah diberikan.

"Mungkin dia (Faizal) ada masalah peribadi. Usianya muda lagi, kalau dia nak rehat dua atau tiga kejohanan, kami boleh beri dia rehat.

"Cuma, jangan terus berhenti. Kami tak mahu dia mempunyai mentaliti macam ini, kami takkan ambil dia kalau dia tidak bagus. Saya harap dia dapat fikir semula," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kelmarin, Faizal mendedahkan perkara itu kepada kenalan rapatnya dengan memuat naik gambar surat persaraan ke dalam laman akaun Instagram miliknya sebelum memadam gambar tersebut.

Selain itu, Azmi turut mendedahkan berita gembira apabila mengakui, Azlan bersedia untuk berfikir semula untuk mewakili skuad negara pada pentas Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, September ini.

Dalam perkembangan sama, seorang sumber rapat memberitahu, Faizal mengubah pendirian untuk tidak menarik diri sebaliknya mahu berehat daripada mewakili negara sepanjang tahun ini.

"Dia tidak jadi untuk menarik diri dan mahu berehat selepas ini.

"Maknanya, dia tidak mahu bermain pada Sukan Komanwel (di Glasgow, Scotland hujung bulan ini) dan Sukan Asia. Dia hanya mahu berehat sahaja," jelasnya.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998