MV AGUSTA BRUTALE 1090R

by - Thursday, July 17, 2014

PENGELUAR motosikal Itali, MV Agusta mempunyai satu persepsi dalam minda masyarakat global; eksotik, status, prestasi dan kaya dengan sejarah pembuatan motosikal.

Sejak berada di bawah tampuk kuasa Claudio Castiglioni, MV Agusta bangkit semula dalam pengeluaran jentera dua roda dan mempunyai potensi yang kuat dalam pasaran motosikal berkuasa tinggi.

Reputasi MV Agusta semakin diyakini sejak akhir akhir ini. Adakala, saya terfikir juga, mungkin orang sudah mula bosan dengan mesin-mesin buatan Jepun.

Jika dahulunya, ramai yang mengatakan jentera-jentera eksotik MV Agusta terlalu sukar untuk dikendalikan dan tidak mengutamakan aspek ergonomik penunggang.

Agar tidak bias kepada kesan halo jenama MV Agusta, saya mendapatkan unit tunggang uji Brutale 1090R melalui pengedar utama jenama mewah tersebut, Chear Motor. Brutale 1090R yang mendapat enjin empat silinder selari mempunyai kuasa 144 hp pada 10,300 rpm dan tork 112Nm pada 8,100 rpm.

Melihat kepada struktur reka bentuk, jentera ini tampak padat, berkarakter dan memiliki daya tarikan yang cukup kuat. Gaya agresif diperhalusi dengan perincian yang menggambarkan kemewahan jenama eksklusif ini.

Duduk di atas pelana Brutale 1090R, saya yakin MV Agusta telah berjaya menghasilkan sudut tunggangan yang lebih ergonomik.

Tatkala enjin dihidupkan, saya dapati alunan enjin empat silinder sebaris cukup indah. Walaupun masih menggunakan sistem ekzos standard, bunyinya sudah cukup kuat.

Tunggangan pertama melalui kawasan bandar, jentera ini mudah dikawal walaupun dalam kelajuan yang rendah. Menukar haluan melalui lebuh raya, pulasan pendikit sedikit lebih dikenakan. Hasilnya, jentera ini menghasilkan kuasa yang menakjubkan.

Tork yang kuat dapat dirasakan setiap kali bukaan pendikit dan ia seolah-olah sentiasa menginginkan peningkatan tahap kelajuan.

Walaupun Brutale menggunakan enjin empat silinder seperti motosikal Jepun yang lain, karakter enjin buatan MV Agusta sangat berbeza.

Pada awalnya saya agak takut dengan jumlah kuasa yang terhasil. Mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri, saya amat menghargai isi padu kuasa yang mengagumkan.

 Jika dibandingkan dengan motosikal naked lain dalam pasaran, Brutale 1090R agak berat sebenarnya.

Namun, geometri casis, pengagihan berat dan keseimbangan yang diberikan menjadikan ia memiliki tahap pengendalian yang baik.

Sistem suspensi bertindak dengan cemerlang terutamanya ketika melalui kawasan yang beralun. Saya berasa selesa menunggang di atasnya dan dapat menikmati perjalanan yang kualiti di sepanjang sesi tunggang uji kali ini.

Dalam kelajuan tinggi, respons hendal sedikit lambat untuk mengubah haluan berbalas di selekoh. Namun begitu, hal ini tidak berlaku jika anda berada dalam kelajuan selamat. Fork hadapan dipadankan dengan kaliper brek Brembo yang cukup responsif untuk memberikan daya penghentian yang efektif.

Secara keseluruhannya, Brutale 1090R cukup menggambarkan namanya. Rekaan agresif di samping kuasa brutal yang ada padanya, dengan sedikit pulasan pendikit sahaja, tayar hadapan boleh terangkat dengan mudah.SH

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998