HOKI WANITA PERLU TERUSKAN KESINAMBUNGAN

by - Thursday, July 03, 2014

KEJAYAAN skuad hoki wanita negara menjuarai pusingan pertama Hoki Liga Dunia di Singapura bulan lalu menjadi pembakar semangat terbaik menjelang Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland, 23 Julai ini.

Skuad wanita negara ternyata tidak menerima tentangan sengit daripada Singapura, Hong Kong, Kazakhstan, Sri Lanka, Thailand dan Myanmar untuk mengekal kejayaan menjuarai pusingan pertama buat kali kedua berturut-turut.

Malaysia meraih kejuaraan tersebut dengan menewaskan Kazakhstan 5-0 pada aksi final kejohanan itu di Pusat Sukan dan Rekreasi Sengkang, Singapur pada 27 Jun lalu.

Kejayaan itu membolehkan Malaysia mara ke pusingan kedua Hoki Liga Dunia Wanita yang mana merupakan aksi kelayakan ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Ketua jurulatih, Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim berharap kecemerlangan dipamerkan sewaktu saingan tersebut dapat diteruskan dalam usaha menggalas cabaran negara ke bumi Scotland selepas ini.


"Alhamdulillah kami berjaya menang pusingan pertama (Hoki Liga Dunia). Semua dalam keadaan baik ketika ini dan latihan juga berjalan lancar, cuma saya ada ubah sedikit cara latihan.

"Kejayaan ini satu perkara yang baik kepada anak-anak buah saya untuk Sukan Komanwel nanti dan saya harap semangat dan keyakinan yang ada dapat dikekalkan untuk aksi seterusnya," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Berdasarkan prestasi semasa ketika ini, Nasihin percaya skuad wanita negara tidak mustahil mampu menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik pada Sukan Komanwel nanti.

"Banyak lagi yang kami perlu perbaiki. Hoki Liga Dunia boleh menjadi salah satu persiapan terbaik kepada kami. Saya akui kami tidak terlalu berdepan saingan tetapi ia berlainan apabila Sukan Komanwel.

"Dulu kita dapat No.10 (Sukan Komanwel 2010 di Delhi, India), jadi kali ini sasaran saya sekurang-kurangnya mampu berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik.

"Bukan tak mahu menang pingat. Saya akui ianya sukar tetapi bukan perkara mustahil. Kami akan cuba yang terbaik dan bersedia memberikan elemen kejutan di sana nanti," jelasnya.

Skuad wanita negara akan bertemu Australia pada 24 Julai ini sebelum bertemu Scotland (25 Julai), England (27 Julai) dan Wales (30 Julai) pada Sukan Komanwel 2014 di Pusat Hoki Nasional Glasgow, Scotland. ~ KOSMO

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998