HADIAHKAN KEJAYAAN SUKAN ASIA SEBELUM BERSARA HARAPAN BOSS KEPADA AZLAN

by - Monday, July 07, 2014

KEJAYAAN di Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada September depan mungkin boleh menjadi hadiah terakhir kepada skuad hoki negara.

Demikian pandangan dan harapan daripada legenda hoki tanah air, Mirnawan Nawawi terhadap keputusan kapten skuad negara, Azlan Misron yang mengambil keputusan untuk bersara daripada beraksi di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, Mirnawaan yang memahami situasi tersebut berharap agar Azlan dapat mempertimbangkan keputusannya dengan menjadikan Sukan Asia sebagai medan terakhir sebelum menggantung kayu hokinya selepas ini.


"Pengalaman dimiliki Azlan dapat membantu Malaysia di Sukan Asia. Dia sudah 14 atau 15 tahun mewakili negara, mungkin dia ada sebab tersendiri memilih haluan untuk bersara daripada arena hoki.

"Bagi atlet negara terutamanya hoki, kita seharusnya berikan 100 peratus tumpuan kepada sukan ini. Jadi pada satu masa, dia sudah tak boleh nak beri komitmen sepenuhnya dan saya faham kerana saya pun mengalami perkara sama dahulu.

"Mungkin Sukan Asia boleh menjadi hadiah perpisahan atau pemberian terakhir Azlan kepada skuad negara. Ia juga sudah tidak lama, lagi dua bulan sahaja lagi.

"Saya sebagai bekas kapten negara berharap Azlan mungkin boleh pertimbangkan semula keputusannya dan jadikan Sukan Asia medan terakhir tetapi keputusan itu tetap bergantung kepada beliau," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada Rabu lalu, pemain berusia 31 tahun itu telah menyerahkan surat penarikan diri kepada pengurus pasukan, George Koshy dengan alasan tidak mampu lagi untuk memberikan komitmen 100 peratus terhadap skuad bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu.

Sebagai rekod, Azlan mula mewakili negara sejak 2002 ketika di bawah bimbingan jurulatih dari Jerman, Paul Lissek dan Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda bulan lalu menjadi pentas terakhirnya di arena antarabangsa.

Malah, pemain kelahiran Trolak, Perak itu juga telah membuat 342 penampilan buat skuad Speedy Tigers, penampilan terbanyak, mengatasi bekas pemain pertahanan negara, S. Kuhan yang merekodkan 341 penampilan.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998