GENERASI MOTORRAD CKD

by - Thursday, July 17, 2014

KETIKA BMW sibuk memperkenalkan kereta siri baharu - 4-Series Gran Coupe serba baharu, BMW Group Malaysia turut melancarkan dua jentera baharu Motorrad iaitu BMW F 800 R dan BMW 800 GS.

Kedua-dua variasi motosikal baharu tersebut kini dipasang di kilang BMW Group di Thailand bagi menawarkan pelbagai pilihan motosikal premium yang lebih luas pada harga yang kompetitif.

Jentera naked terbaharu, BMW F 800 R digambarkan sebagai jentera yang ringan, tangkas dan pantas. BMW menegaskan penciptaan jentera berkuasa 798cc adalah di atas prinsip penawaran pengalaman tunggangan yang menyeronokkan.

Enjin dua silinder sebaris 798cc yang digunakan mempunyai 47 kuasa kuda pada 8000 rpm dan tork 63Nm pada 6000 rpm. Enjin tersebut diletakkan di tengah-tengah casis kukuh yang memiliki geometri seimbang untuk menjamin prestasi pengendalian yang lebih sempurna.

Kedudukan tunggangan pula lebih menekankan konsep ergonomik tulen bagi memastikan tunggangan yang lebih selesa di atas pelbagai permukaan jalan raya.

Tahap prestasi kuasa dan pengendalian disertakan dengan rekaan eksklusif dari BMW. Rekaan keseluruhan F 800 R banayk mewarisi reka bentuk K1300R yang memberi kesan garis rekaan lebih maskulin. BMW F 800 R disediakan dalam tiga skim pilihan warna - Racing Blue Metallic, Light White dan Sakhir Orange.

Sementara itu, BMW F 800 GS turut menyertai rangkaian produk GS yang ditawarkan dalam pasaran tempatan. Jentera yang berkonsepkan enduro ini tampil dengan rekaan yang sporty tanpa mengetepikan aspek prestasi.

Mempunyai spesifikasi enjin yang sama dengan F 800 R, versi baharu BMW F 800 GS menggunakan kerangka keluli berbentuk tiub berserta subframe belakang yang direka untuk mengendalikan beban yang meningkat ketika tunggangan off-road dan tangki bahan api 6.3 gelen baharu yang lebih berat.

Enjin 798cc tersebut ditala semula untuk mengeluarkan 85 kuasa kuda pada 7500 rpm dan 83 Nm tork pada 5750 rpm. Keseluruhan kuasa enjin pula dipindahkan melalui kotak gear enam kelajuan.

Jentera ini memperoleh rekaan yang lebih ergonomik berbanding generasi sebelumnya dengan penawaran pelana dan sudut kedudukan tunggangan yang lebih selesa dan penawaran set pelindung tangan. Jentera enduro ini dikatakan sesuai untuk digunakan sebagai kenderaan harian dengan penawaran penjimatan bahan api yang cemerlang.

BMW F 800 GS dilengkapi dengan sistem penggantungan belakang terkini dan fork terbalik 230mm bagi menyediakan keselesaan dan kestabilan yang di samping penggunaan hendal yang lebar.

Bagi menjamin tahap keselamatan, penunggang ditawarkan sistem Kawalan Kestabilan Automatik (ASC) untuk mengehadkan tork mengikut kesesuaian keadaan jalan raya pelbagai permukaan.

BMW F 800 GS ditawarkan dalam pilihan warna BMW Alpine White, Dynamic Cordoba Blue dan Kalamata Matt Metallic.

Kedua-dua motosikal ini dilengkapi dengan sistem ABS sebagai ciri standard mengikut prinsip keselamatan 360 darjah BMW Motorrad - konsep pembangunan keselamatan dengan penyelesaian inovatif untuk keselamatan maksimum.

Model BMW F 800 R dijual pada harga RM 63,800 manakala BMW F 800 GS dijual bermula pada harga RM 73,900 tanpa insurans.

Kedua-dua BMW F 800 R dan F 800 GS didatangkan dengan program perkhidmatan khas termasuk perkhidmatan minyak pelincir percuma sehingga 2 tahun atau 40,000 km (yang mana terdahulu). Kesemua motosikal BMW Motorrad disertakan jaminan dua tahun pengeluar dengan jumlah perbatuan tanpa had.SH

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998