GANTUNG KAYU SARUNG BUT KATA NUR AZMI

by - Saturday, July 19, 2014

 “Kalau rasa main hoki kurang dapat duit, pergilah main bola sepak.”

Demikian reaksi Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Nur Azmi Ahmad yang begitu kecewa dengan sikap segelintir pemain kebangsaan kerana merungut duit poket RM500 diberikan ketika beraksi di Piala Dunia di The Hague, Belanda dua bulan lalu, tidak mencukupi. 



Sambil mengaku itulah jumlah diberikan kepada setiap pemain, Nur Azmi bagaimanapun menegaskan, pemain perlu melihat dalam skop lebih luas dengan usaha dan pemberian insentif lain sebenarnya jauh lebih baik sejak Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menjadi Presiden MHC. 

Katanya, Tengku Abdullah bertanggungjawab memperkenalkan pemberian insentif dalam jumlah yang agak lumayan dan sehubungan itu pemain tidak harus merungut.


“Tanyalah kepada pemain dulu, ada tak mereka dapat seperti sekarang.


“Pemain sekarang sebenarnya cukup bertuah kerana Tengku Abdullah cukup prihatin dalam soal pemberian insentif. 

“Tapi mereka merungut macam MHC tidak pernah bagi apa-apa. 

“Memang saya akui kami bagi RM500, tapi MHC juga keluar duit untuk perkara lain seperti makanan dan tempat tinggal. Perkara seperti itu perlu juga diambil kira. 

“Mereka sepatutnya bersyukur, bukan terus menghentam MHC,” katanya. 

Justeru, Nur Azmi berharap mana-mana pemain yang tidak berpuas hati supaya bersemuka dengan MHC dan bukannya meluahkan perasaan menerusi media. 

Nur Azmi juga berkata, MHC dari masa ke semasa sedia mempertimbangkan kenaikan pemberian insentif kepada setiap pemain, bergantung kepada kemampuan badan induk itu. 

Semalam, menerusi laporan Arena Metro, sumber dalaman mendedahkan setiap pemain hanya diberi wang poket RM500 yang bersamaan 5 euro (RM23) sehari sepanjang 22 hari berada di The Hague. 

Jumlah itu, dakwa sumber berkenaan amat tidak berpatutan, malah MHC juga didakwa mungkir janji dalam soal pemberian insentif selepas skuad negara layak ke Piala Dunia menerusi saingan Liga Hoki Dunia di Johor Bahru, tahun lalu. 

Malah dipercayai, semua itu menjadi antara punca penyerang utama negara Faizal Saari meluahkan hasrat untuk berundur daripada skuad kebangsaan.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998