FITRI DAN FIRHAN DIGUGURKAN

by - Saturday, July 12, 2014

Skuad hoki kebangsaan mendapat perkhabaran kurang enak menjelang saingan Sukan Komenwel Glasgow yang bermula 23 Julai ini apabila dua tonggak penting, Mohd Fitri Saari dan Muhammad Firhan Ashaari digugurkan daripada kem latihan pasukan negara.

Perkara itu disahkan pengendali Muhammad Dhaarma Raj Abdullah kepada Arena Metro semalam selepas meninjau sesi latihan pasukan negara yang dijalankan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil dengan dua pemain muda itu kelihatan berada di bangku simpanan. “Fitri terpaksa kami ketepikan kerana mengalami masalah kepenatan terlampau akibat jadual padat yang ditempuhinya sejak Piala Dunia Remaja di India hujung tahun lalu hingga ke Piala Dunia di Belanda, baru-baru ini.


“Manakala Firhan pula ditimpa kecederaan dan saya terpaksa mengugurkan kedua-dua pemain itu walaupun mengakui amat berat untuk melakukannya kerana mereka berdua nadi penting kepada pasukan.



“Memandangkan Sukan Asia Incheon sasaran utama MHC (Konfederasi Hoki Malaysia) yang mahukan pingat berbanding Sukan Komenwel, saya perlu memastikan kecergasan Fitri kembali ditahap terbaik serta turut berharap Firhan dapat pulih daripada kecederaan dalam selepas kami pulang dari Scotland,” katanya.


Menurut Dhaarma, bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Fitri dan Firhan, beliau memanggil dua pemain skuad remaja negara sebelum ini, Noor Izzat Sumantri dan Muhammad Haziq Samsul.


“Untuk itu, saya sudah mencari pengganti dengan menyenaraikan Izzat Sumantri dan seorang pemain junior, Haziq Samsul ke dalam pasukan. “Mereka berdua juga bakal menjalani latihan bersama pasukan hari ini (semalam). “Walaupun keupayaan mereka berbeza, tetapi saya yakin Izzat dan Haziq boleh mengisi kekosongan itu di samping ini peluang terbaik buat mereka untuk merebut tempat dalam skuad Sukan Asia,” katanya.

Berdasarkan undian dikeluarkan, skuad hoki lelaki negara diletakkan dalam kumpulan B bersama pasukan ditangga kelima ranking Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) England, Kanada dan Trinidad n Tobago. Sementara juara dunia dan pemenang pingat emas temasya lalu, Australia bakal menerima cabaran dari New Zealand, Afrika Selatan dan India dalam kumpulan A.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998