FAIZAL SAARI UMPAMA MESSI

by - Wednesday, July 16, 2014

Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diletakkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) kepada skuad hoki kebangsaan dengan membawa pulang kilauan emas pada Sukan Asia Incheon September ini, kelihatan agak sukar apabila penyerang sensasi negara Faizal Saari dilapor ingin bersara dari arena antarabangsa.

Bagi ketua jurulatih negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah tindakan pemain berusia 23 tahun itu yang mengumumkan persaraan Ahad lalu, akan merugikan negara kerana kelebihan dimiliki Faizal menerusi pukulan derasnya amat ditagih.


“Faizal umpama Lionel Messi yang bermain untuk Argentina. Keupayaan sentuhan pemusnah, kehebatan larian solo dan kepakaran menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti menjadikan dia pemain serba boleh.

“Dia pemain lengkap dan antara yang paling berbakat pernah dilahirkan negara, sekiranya dia tetap dengan pendiriannya ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada usaha meraih emas di Sukan Asia.


“Saya harap dia mempertimbangkan kembali niatnya itu. Kalau boleh saya mahu dia kembali dan memberi komitmen 100 peratus kerana dia masih muda dan boleh memberi sumbangan kepada pasukan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.


Menerusi pendedahan Arena Metro sebelum ini, Faizal memuat naik gambar surat persaraan ke laman akaun Instagram miliknya sebelum memadam gambar itu.

Alasan yang diberikan pemain kelahiran Kuala Terengganu itu adalah kerana tidak puas hati dengan agihan imbuhan diberikan MHC sebelum ini.

Sementara itu, Dhaarma Raj mengakui kehadiran semula Azlan Misron dalam pasukan adalah suatu perkembangan positif menjelang temasya Sukan Asia.

“Dengan kehadiran semula Azlan dalam latihan, ia memberikan saya banyak pilihan menyusun strategi paling ampuh bagi menghadapi saingan Sukan Asia. Di samping itu, dia antara pemain paling berpengalaman yang boleh membimbing pemain lain,” katanya.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998