FAIZAL PASTI KEMBALI - NUR AZMI

by - Thursday, July 17, 2014

Meskipun belum ada kata putus daripada Faizal Saari berhubung masa depannya, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) tetap yakin bintang berusia 23 tahun itu akan kembali ke pangkuan skuad hoki negara. 

Keyakinan itu disuarakan Naib Presiden Kanan MHC, Datuk Nur Azmi Ahmad selepas mengadakan perbincangan tertutup bersama Faizal dan bekas kapten, Azlan Misron yang sudah membuat pusingan ‘U’ menarik balik persaraannya. 

“Insya-Allah dia akan bermain. Kami sudah mendengar masalah yang dikemukakannya dan saya akan bawa masalah itu terus kepada presiden (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah). 

“Justeru, saya harap Faizal dapat fikir semula keputusannya dan kami sedia pertimbangkan serta mengatasi masalah yang dihadapinya,” katanya dalam sidang media di Pejabat MHC di sini, semalam. 


Perkhabaran itu harus kembali membakar semangat skuad Speedy Tigers yang diletakkan sasaran oleh MHC untuk menuai pingat emas di Sukan Asia Incheon, September ini bagi mencari tiket automatik ke Olimpik Rio 2016. 

Kedudukan Faizal menjadi tumpuan selepas pemain kelahiran Kuala Terengganu itu memuat naik gambar surat persaraan ke laman akaun Instagram miliknya sebelum memadam gambar itu. 
Alasan yang diberikan pemain yang baharu mengikat kontrak setahun dengan kelab hoki Terengganu HT itu kerana tidak berpuas hati dengan agihan imbuhan diberikan MHC sebelum ini. 

Nur Azmi berkata, sementara menunggu keputusan akhir yang bakal dibuat jawatankuasa tertinggi MHC, Faizal diberi pelepasan untuk berehat seketika sambil menenangkan fikiran supaya dia dapat mengubah keputusannya itu. 

“Kami akan beri laporan kepada presiden... dan sementara waktu kita bagi pelepasan khas sehingga dia Ok. Dalam masa sama dia harus menjalankan latihan secara sendiri dan terpulang kepada jurulatih untuk kembali memanggil dia,” katanya. 

Sementara itu, Faizal yang ditemui memberi amaran akan meninggalkan sidang media berkenaan sekiranya media terus mengemukakan soalan mengenai hasratnya untuk bersara.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998