DHARMA SANGGUP DIPECAT

by - Thursday, July 10, 2014

Ketua jurulatih hoki negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah rela dipecat sekiranya hasil laporan Jawatankuasa Penilaian Prestasi Piala Dunia 2014 nanti merumuskan pencapaian tempat tercorot anak buahnya di The Hague bulan lalu satu kegagalan.

"Saya pun tidak mahu melatih pasukan negara lagi jika tempat ke-12 Piala Dunia masih dianggap malapetaka dan jawatankuasa itu boleh menyarankan MHC (Konfederasi Hoki Malaysia) untuk memecat saya.

"Selama 12 tahun lalu kita tidak layak ke Piala Dunia, tiada pun pihak yang mahu buat bedah siasat, inkuiri atau penilaian tetapi apabila dapat main di sana dan menduduki tempat tercorot, semua orang kecam seteruk-teruknya sampai ramai pemain yang sudah patah semangat dan tertekan untuk bermain lagi.

"Bagi saya (Piala Dunia) bukan kegagalan dan saya tetap fikir itu satu kejayaan selepas sekian lama (tidak layak). Pemain kita kurang pengalaman. Kami sudah cuba yang terbaik dan sasar 10 teratas, (tetapi) yang terbaik kami masih tidak memadai. Kita tiada pemain yang bertaraf Piala Dunia," katanya.

Beliau meluahkan kemarahannya pada sidang akhbar di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam, ekoran kenyataan Naib Presiden MHC, Majid Manjit Abdullah bahawa barisan kejurulatihan negara perlu dirombak ekoran persembahan terburuk Malaysia di The Hague dalam sejarah Piala Dunia.

Dalam sidang akhbar bagi mengumumkan skuad 16 pemain negara ke Sukan Komanwel Glasgow mulai 24 Julai ini, Naib Presiden Kanan MHC, Datuk Nur Azmi Ahmad turut menamakan sembilan ahli Jawatankuasa Penilaian Prestasi Piala Dunia yang dipengerusikan oleh Datuk R. Yogeswaran.


"Ahli jawatankuasa ini ialah saya, Datuk Poon Fook Loke, Datuk Au Soon Koon, Rama Krishnan, M.P. Haridass, Datuk Seri Zolkples Embong, Datuk Dr. Ramlan Aziz dan Ariffin Ghani. Jawatankuasa juga akan dapatkan maklum balas jurulatih, apa lagi yang perlu dipertajamkan dan dimantapkan sebelum Sukan Asia Incheon (September ini).

"Hasil laporan mereka dijangka dapat disiapkan dalam tempoh dua minggu," kata Nur Azmi, sambil menambah, Dhaarma akan terus membimbing skuad negara di Glasgow dan dibantu K. Gobinathan manakala MHC akan cuba mendapatkan satu dua lagi kuota bagi penolong lain.

Skuad Sukan Komanwel hanya mengekalkan enam pemain Piala Dunia iaitu Firhan Ashari, Razie Rahim, Faiz Helmi Jali, Fitri Saari, Ramadan Rosli dan Shahril Saabah dengan tiada sasaran tertentu ditetapkan MHC yang sebaliknya menuntut mereka menunjukkan aksi terbaik bagi menjamin tempat ke Incheon.

Skuad lelaki menganggotai Kumpulan B yang mengandungi New Zealand, Kanada, Trinidad & Tobago dan England manakala skuad wanita di bawah bimbingan Nasihin Nubli Ibrahim dan diketuai Nadia Abdul Rahman, membentuk Kumpulan A dengan Australia, England, Scotland dan Wales.

Skuad lelaki menduduki tempat kelapan di Delhi 2010. Pencapaian terbaik ialah pingat perak di Kuala Lumpur pada 1998 sementara skuad wanita di tangga tercorot, empat tahun lalu namun meraih tempat keenam di Melbourne 2006.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998