DEMI PEMBANGUNAN HOKI,LEPASKAN MEREKA

by - Friday, July 04, 2014

Keengganan pengurusan kelab hoki Terengganu HT melepaskan dua aset bernilai mereka Mohd Faizal dan Mohd Fitri Saari mendapat restu Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang menyifatkan tindakan kelab dari Pantai Timur itu tepat.

Setiausaha Agung MHC Datuk Mohd Johari Abdul Aziz berkata, hingga kini badan induk itu masih belum menerima sebarang tawaran rasmi daripada mana-mana kelab di Belanda di samping memperakui adik-beradik itu memiliki kontrak yang sah bersama Terengganu HT sehingga 2015.

“Hingga kini kami (MHC) atau mereka (Terengganu HT) belum menerima apa-apa hitam putih daripada kelab Belanda yang dikatakan menawarkan kontrak kepada mereka.

“Tapi, pada masa sama, saya juga tidak salahkan Terengganu HT kerana dalam kontrak, Faizal dan Fitri sah milik mereka.



Dalam kes ini kita perlu menghormati perjanjian yang sudah ditandatangani antara pemain dan majikan.

“Memang kami hendak lihat dan galakkan pemain beraksi di luar negara, tapi jika pemain itu sudah terikat dengan mana-mana pasukan, payah sikit.

“Namun, saya percaya perkara ini boleh dibawa berbincang.


Sekiranya mereka prihatin mengenai perkembangan hoki negara, mereka pasti akan beri kerjasama demi pembangunan sukan ini,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Menerusi pendedahan Arena Metro sejak Selasa lalu, dilaporkan Faizal dan Fitri, dua tonggak penting skuad kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mendapat perhatian kelab utama dalam divisyen satu Belanda yang bersedia menawarkan kontrak semusim kepada mereka.

Fitri yang juga bekas kapten skuad remaja Piala Dunia di India tahun lalu, dikatakan berada dalam dilema untuk menerima pelawaan kelab Belanda itu memandangkan dia bersama abangnya masih mempunyai kontrak di samping sudah menerima gaji penuh semusim dari Terengganu HT.

Bagaimanapun, Johari tidak menolak kemungkinan pertindihan waktu berlangsungnya Liga Kebangsaan dengan Liga Eropah antara penyebab masalah yang timbul itu.


“Saya akui masalah pertindihan masa liga kita dengan negara luar menjadi punca kemelut ini.

Memang MHC sendiri ada berbincang untuk ubah tarikh liga.

“Presiden juga sedia maklum dengan situasi ini.

Isu ini selalunya setiap dua tahun kami akan menilai semula dan apa pun pihak kami menanti perancangan jurulatih (Muhammad Dhaarma Raj Abdullah) baru kami dapat tengok balik apa yang perlu dibaiki,” katanya.

Berdasarkan jadual terkini, Liga Hoki Kebangsaan bakal membuka tirainya pada 7 September hingga Disember ini, manakala Liga Belanda pula bermula 24 September.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998