BMW NAKED S1000R

by - Saturday, July 05, 2014

PENGELUAR automotif terkenal BMW Group teruk dikritik setelah penganalisis percaya divisi motosikalnya, BMW Motorrad hanya mementingkan penghasilan jentera roda dua hanya untuk golongan pembeli peringkat usia pertengahan.

Namun persepsi itu meleset apabila BMW Motorrad pada 2009 tampil dengan sebuah jentera supersport yang membuktikan pemahamannya terhadap selera orang muda. Model itu ialah BMW S1000RR.

Sebenarnya, motosikal itu bukan sekadar menghapuskan stigma sedia ada malah ia membawa satu mesej penting kepada pengeluar motosikal lain khasnya di Jepun bahawa BMW masih serius dalam bisnes motosikal berkuasa tinggi.

Populariti supersport S1000RR melonjak menerusi penglibatan dalam beberapa sukan berlumba motosikal berkelas dunia seperti Kejohanan Superbike Dunia (WSBK), MotoGP dan Isle of Man TT.

Antara pencapaian terbaharu BMW Motorrad ialah pelumba pasukan Hawk Racing, Michael Dunlop menjuarai kelas superbike Isle of Man TT pada 31 Mei lalu dengan menaiki model S1000RR.

Tidak terhenti di situ sahaja, BMW Motorrad terus memburu mata penting dalam pasaran untuk melonjakkan jenama motosikalnya. Kali ini, gergasi Jerman itu meneroka segmen naked berkuasa tinggi dengan taruhan model BMW S1000R.

Pakej transformasi


BMW S1000R merupakan jelmaan S1000RR. Selayang pandang, kedua-dua model kelihatan hampir sama. Perbezaan utama hanya melibatkan ketiadaan komponen fairing pada tubuh S1000R.

Sebenarnya, model S1000R bukan sekadar menanggalkan fairing dan memasang bar hendal lebar. Motosikal itu didatangkan dalam satu pakej signifikan untuk sebuah roadster.


BAHAGIAN hadapan didominasi oleh set lampu yang mempersembahkan rekaan unik.

Pakej itu melibatkan kerja-kerja transformasi rekaan luaran, aplikasi sistem elektronik termaju dan binaan semula unit enjin asal S1000RR.

Modifikasi pertama merangkumi kejuruteraan semula unit enjin dengan menukar beberapa komponen sedia ada termasuk memasang sistem pengurusan enjin BMS-X baharu untuk menjayakan ledakan kuasa pada julat pusingan enjin rendah sehingga peringkat sederhana.

Hasilnya, S1000R memiliki kuasa tarikan yang lebih tinggi daripada supersport S1000RR. Bagaimanapun, kuasa output maksimum dihadkan kepada 160hp pada 11,000rpm sahaja.

BMW S1000R dibekalkan dengan dua mod pemetaan enjin (Roda dan Rain), sistem brek antikunci (ABS) dan kawalan kestabilan automatik (ASC) untuk membolehkan pengguna menikmati pengalaman tunggangan sebenar di jalan raya.

Jika menyusuri laluan licin, penunggang boleh memilih tetapan mod Rain. Sejurus sahaja diaktifkan, ia mengubah respons pendikit agar lebih lembut dan mengizinkan campur tangan sistem ABS dan ASC secara automatik untuk mengawal kestabilan motosikal dengan lebih baik.

Mesra jalan raya

Mod Rain akan mengehadkan kuasa maksimum enjin dan tork masing-masing kepada 136hp dan 104Nm. Bagi mod Road pula, sistem elektronik akan membolehkan kuasa output dan tork maksimum dinikmati sepenuhnya atas permukaan jalan kering.

Selesai sudah mengusik unit enjin, mekanik BMW juga memasang sistem ekzos keluli tahan karat baharu yang lebih ringan untuk S1000R.

Perendam bunyi ekzos lebih kecil dipasang untuk mengurangkan pembebasan kadar emisi karbon dan mengurangkan kesan pencemaran bunyi.

Beralih kepada elemen kosmetik, roadster Jerman itu mempersembahkan sudut susuk tubuh yang tajam berbanding S1000RR.

Fokus utama binaan S1000R adalah sebagai model roadster. Maka, komponen asas yang perlu dipadankan ialah bar hendal yang lebih lebar. Posisi perehat kaki pula diubah bagi menzahirkan posisi tunggangan yang lebih sporty.








JENTERA berprestasi baharu BMW Motorrad menjanjikan keseronokan tunggangan dengan ledakan tenaga berprestasi.

Beralih kepada sistem suspensi, model S1000R didatangkan dengan fork hadapan USD yang boleh laras manakala imbangan bahagian belakang disandarkan kepada lengan ayun berkembar dengan unit monoshock.

Jarak roda motosikal pula ditingkatkan sebanyak 22mm untuk meningkatkan kadar cengkaman dan kestabilan sekali gus membolehkan pengendalian yang lebih baik tanpa menjejaskan aspek keselesaan tunggangan.

Di hadapan bar hendal, penunggang dibekalkan instrumen meter yang menggabungkan paparan analog dan digital yang didakwa mudah dibaca sewaktu tunggangan.

Apa yang menariknya, BMW S 1000R disifatkan sebagai jentera paling ringan dalam segmen satu liter roadster (naked). Berat keseluruhannya hanya 207 kilogram.

Untuk pasaran Malaysia, BMW Malaysia menyediakan pilihan warna merah, biru dan putih. Harga jualan BMW S1000R ialah RM95,800 seunit. Itu tidak termasuk insurans.

Bagaimanapun, perjalanan S1000R masih samar-samar kerana BMW perlu berdepan dengan beberapa pesaing signifikan dalam segmen sama antaranya, Kawasaki Z1000, Aprilia Tuono V4R dan Triumph Speed Triple. BMW Malaysia perlu bijak menyusun strategi promosi jika ingin melihat lebih ramai pemilik membawa pulang sebuah S1000R. Semoga berjaya! - KOSMO

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998