BARISAN TERKUAT DHARMA DI GLASGOW,BARISAN KEDUA

by - Wednesday, July 09, 2014

KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) telah mengumumkan senarai penuh pemain skuad hoki lelaki dan wanita negara ke Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland yang akan bermula pada 24 Julai hingga 3 Ogos ini.


Biarpun tidak diletakkan sebarang sasaran, namun Sukan Komanwel pastinya menjadi medan persiapan terbaik sebelum menempuhi cabaran getir Sukan Asia selepas itu di Incheon, Korea Selatan, September ini.

Bagi skuad lelaki negara, ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah  hanya membariskan barisan kedua pada kejohanan tersebut.

Justeru, penyenaraian rata-rata pemain yang tidak terpilih ke Piala Dunia Hoki di The Hague, Belanda pada Mei lalu membuka peluang untuk membuktikan keupayaan mereka agar terpilih ke Sukan Asia kelak.

"Kebanyakan pemain utama mengalami keletihan kerana banyak menyertai beberapa kejohanan berturut-turut (termasuk Piala Sultan Azlan Shah pada Mac; Cabaran Juara-Juara 1 (April) dan Piala Dunia (Mei).

"Saya tidak bias dalam memilih pemain kerana sesetengah pemain lebih bagus. Jadi, ini adalah peluang terbaik kepada mereka yang tidak terpilih (ke Piala Dunia) dan pemain yang lain juga belum dijamin tempat ke Sukan Asia.

"Saya harap semua orang memahami situasi yang berlaku ketika ini. Kalau boleh, saya mahu memenangi kesemua perlawanan di Sukan Komanwel tetapi saya perlukan barisan terbaik saya.

"Saya sedang cuba lakukan yang terbaik sekarang ini," katanya kepada pemberita sewaktu sidang akhbar pengumumam pasukan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad wanita, Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim mengharapkan barisan terbaiknya dapat memperoleh pendedahan berguna di bumi Scotland agar dapat digunakan pada Sukan Asia kelak.

"Sukan Komanwel lalu (2010 di New Delhi) kita mendapat tempat ke-10. Sasaran peribadi saya serta pasukan ialah cuba memperbaiki tahap kami di sana dan kalau boleh, mendapat tempat keenam.

"Kami tidak ada pertandingan kompetitif untuk benar-benar menguji keupayaan pasukan kami sebelum ini. Jadi, saya terpaksa menghantar barisan terbaik saya sebagai persiapan terbaik ke Sukan Asia," jelasnya.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998