AZLAN MUNGKIN KEMBALI

by - Monday, July 14, 2014

BEKAS kapten skuad hoki negara, Azlan Misron mengakui hatinya tetap terbuka untuk menyertai skuad kebangsaan namun masih memerlukan masa memikirkannya, lapor SHANIKA ABDULLATIB.

“Selepas Piala Dunia, jiwa saya benar-benar kosong. Saya tidak bersemangat untuk menjalani latihan selepas mengalami kekalahan di Piala Dunia di Hugue, Belanda pada bulan lalu.

“Sebagai jalan penyelesaian, saya ada berjumpa dengan pakar psikologi Institut Sukan Negara (ISN) dan berbincang dengan pihak pengurusan.


“Secara perlahan-lahan, saya mula dapat semangat untuk kembali berlatih dan menghadapi perlawanan akan datang jika masih diberi peluang menyertai skuad negara.

“Saya jadi begitu bukan disebabkan tekanan atau letih. Kami mahukan kemenangan untuk menjadi pencetus semangat. Jika asyik kalah, ia memang akan memberi kesan.

“Saya gunakan tempoh `bersara’ ini untuk berfikir secara tenang. Jika perbincangan berjalan lancar, sudah pasti saya mahu kembali menyarung jersi kebangsaan pada Sukan Asia nanti,” katanya yang ditemui pada Program Hari Raya Unit Sukan TV3 bersama anak-anak yatim Rayyanah Raudhah LifeSkills di ibu negara semalam.

Program tersebut merupakan komitmen Unit Sukan TV3 bagi membantu anak-anak yatim rumah berkenaan merasai keseronokan sebagai persiapan menyambut Hari Raya.

Terdahulu, Azlan yang merupakan pemain paling berpengalaman skuad hoki negara bertindak menarik diri daripada pasukan kebangsaan ketika Malaysia dalam persiapan akhir menghadapi Sukan Komanwel 2014.

Pemain berusia 31 tahun itu telah menyerahkan surat penarikan diri kepada pengurus pasukan, George Koshy dengan alasan tidak mampu lagi untuk memberikan komitmen 100 peratus terhadap skuad bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu.

Sebagai rekod, Azlan mula mewakili negara sejak 2002 ketika di bawah bimbingan jurulatih dari Jerman, Paul Lissek dan Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda bulan lalu menjadi pentas terakhirnya di arena antarabangsa.

Malah, pemain kelahiran Trolak, Perak itu juga telah membuat 342 penampilan buat skuad Speedy Tigers, penampilan terbanyak, mengatasi bekas pemain pertahanan negara, S. Kuhan yang merekodkan 341 penampilan.

Mengenai pemilihan pemain yang bakal beraksi di pentas Sukan Komanwel, Azlan percaya jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah telah memilih yang terbaik.

“Saya tiada hak untuk memberi komen kerana jurulatih lebih tahu. Namun, sebagai rakan seperjuangan, sudah pasti saya mahu skuad negara menang.

“Malah, melihat undian kumpulan, saya percaya skuad negara mampu meraih pingat walaupun Persatuan Hoki Malaysia tidak meletakkan sebarang sasaran,” ujarnya.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998