HARAP SERI DENGAN BELGIUM SELEPAS TEWAS PADA AUSTRALIA

by - Monday, June 02, 2014

MALAYSIA yakin untuk mencapai sekurang-kurangnya keputusan seri dengan Belgium pada aksi kedua Kumpulan A Kejohanan Hoki Piala Dunia 2014 di Stadium Green Fields, The Hague, Belanda hari ini.

Ketua jurulatih negara, Muhammad Dhaarmaraj Abdullah berkata keyakinan itu berdasarkan prestasi Belgium, selaku ranking kelima dunia, hanya menang tipis 3-2 ke atas India pada perlawanan peringkat kumpulan kelmarin.

"Belgium banyak cipta peluang jaringan terutamanya menerusi pukulan sudut penalti namun hanya menang tipis dan saya lihat kekuatan mereka lebih kurang sama dengan New Zealand.

"Walaupun begitu, saya jangka kita akan menghadapi saingan sengit daripada Belgium walaupun mereka tidak sekuat (tiga pasukan terbaik dunia) iaitu Australia, Jerman dan Belanda," katanya semalam.

Dhaarmaraj berkata beliau tidak bimbang dengan ketiadaan pertahanan negara kelahiran Jerman, Kevin Lim yang digugurkan daripada kejohanan ini akibat kecederaan hamstring memandangkan penggantinya, Mohammad Izad Hakimi Jamaluddin mampu memikul tugas menjaga benteng pertahanan negara dengan baik.



Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan untuk meletakkan Mohammad Izad Hakimi di posisi lain termasuk di bahagian tengah bagi membuka laluan kepada jentera serangan skuad negara untuk menjaringkan gol semasa berdepan dengan Belgium.

"Keadaan permukaan padang yang baharu (di Stadium Green Fields), saya yakin kita mampu mencipta sesuatu kejutan ke atas Belgium sekiranya para pemain memberikan persembahan terbaik mereka," katanya.

Dalam pada itu, Dhaarmaraj yakin kehadiran Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menjadi pembakar semangat kepada pemain negara bagi melakar kejutan pada kejohanan kali ini.

"Saya lihat kebanyakan negara bertanding tidak melihat Malaysia sebagai satu pasukan yang mampu memberikan ancaman kepada mereka. Kita tahu misi pada kali ini bukan mudah tetapi kita akan cuba sedaya upaya.

"Kita juga mempunyai ramai pemain dari skuad remaja Piala Dunia 2013 berbanding pasukan lain namun dengan kehadiran Tengku Abdullah ia akan menjadi pembakar semangat kepada para pemain beraksi dengan cemerlang," katanya.

Malaysia bakal berdepan tugas sukar menentang pasukan ranking keempat dunia, England pada aksi ketiga kumpulan A di Stadium Kyocera, Khamis ini (5 Jun)

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998