TNB SUMBANG RM500 RIBU UNTUK PROGRAM PEMBANGUNAN

by - Tuesday, May 06, 2014

Pemangku Raja Pe­rak, Raja Dr. Nazrin Shah berkenan menerima sumbangan RM500,000 daripada Tenaga Nasional Bhd. (TNB) untuk program pembangunan Akademi Hoki Raja Ashman Shah, Persekutuan Hoki Asia (AHF) Konfiderasi Hoki Malaysia (MHC) di sini, semalam.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie selepas pertandingan Golf Piala Temenggor 2014 di Kelab Golf Palm Garden di sini.

Yang hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd.


Akademi tersebut yang ditubuhkan sejak 2011 bertujuan memberi sokongan kepada pembangunan hoki di rantau Asia dengan melahirkan jurulatih, pengadil, pengurus dan pegawai teknikal kepada 34 negara yang menjadi ahli kelab tersebut.

Dalam pada itu, Moggie berkata, sumbangan tersebut selari dengan sokongan pihaknya terhadap pembangunan hoki negara.

“Sumbangan ini diharapkan dapat mengukuhkan imej dan jenama TNB sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menerajui pembangunan sukan hoki di negara ini.

“Ini adalah salah satu usaha dalam merakyatkan sukan hoki dalam kalangan masyarakat di negara ini sekali gus menjulang nama Malaysia untuk menjadi kuasa besar dalam arena hoki," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kewangan MHC, Jeneral (B) Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin ketika ditemui berkata, sehingga kini akademi tersebut telah melatih sebanyak 170 pegawai dan pengadil perlawanan dari seluruh negara Asia.

Beliau berkata, menerusi sumba­ngan itu akan membantu lagi akademi tersebut dalam melahirkan jurulatih, pengadil, pengurus dan pegawai teknikal bertaraf dunia.

“Setakat ini kita telah berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM2.1 juta sepanjang penubuhan akademi ini hasil sumbangan beberapa badan korporat dan Yayasan Sultan Azlan Shah.

“Hasil sumbangan ini akan digunakan bagi menjalankan beberapa aktiviti yang telah dirangka bagi melahirkan pegawai dan jurulatih bertaraf dunia di kalangan negara Asia," katanya.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998