TIADA KONTRAK,DHARMA HANYA DIBAYAR ELAUN?

by - Friday, May 16, 2014

Ketua jurulatih hoki negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah hampir meninggalkan pekerjaan yang paling diminatinya gara-gara kontrak pelantikan yang tidak jelas, malah sebenarnya tiada perjanjian hitam putih.

Bekas pemain pertahanan kebangsaan itu rupa-rupanya memikul tugas ketua jurulatih skuad negara sejak lima bulan lalu tanpa menandatangani apa-apa perjanjian selepas kontraknya tamat pada tahun lalu, dan hanya diberi elaun sebanyak RM4,000 sebulan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Isu tersebut dibiarkan tergantung sehingga ke hari ini, menyebabkan Muhammad Dharma tertanya-tanya mengenai kedudukannya sebagai ketua jurulatih kebangsaan kerana tiada kontrak ditandatangani antaranya dengan MHC.

“Isu ini bukan sahaja terjadi kepada diri saya sahaja tapi juga kepada pembantu-pembantu jurulatih pasukan dan bagi saya perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana ini melibatkan soal kebajikan kami.

“Saya hanya diberi elaun seba­nyak RM4,000 sebulan sahaja sejak saya mengambil alih pasukan negara lima bulan lalu dan saya juga masih belum menandatangani apa-apa kontrak mengenai kedudukan saya sebagai ketua jurulatih kebangsaan.

“Jujurnya saya tidak pernah meletakkan harga yang tinggi bagi khidmat saya dan sebab utama kenapa saya masih bertahan selama lima bulan ini adalah kerana rasa sayang saya kepada pasukan hoki negara dan saya mahu lihat mereka (pemain) berjaya," katanya kepada wartawan semalam.

Walaupun pernah diminta untuk meletakkan jawatan oleh isterinya, namun atas dasar sayang Dharma Raj kepada pasukan hoki Malaysia telah menyebabkan jurulatih itu bertahan sehingga tahap dia tidak mampu lagi menghadapi tekanan tersebut.

“Saya tidak faham mengapa isu ini dapat diselesaikan setelah mendapat perhatian media kerana ini masalah dalaman yang tidak sepatutnya diketahui umum dan saya berharap perkara seperti ini tidak berlaku kepada orang lain di masa hadapan.

“Saya sudah membuat keputusan pada hari ini untuk meletakkan jawatan namun saya belum menghantar surat dan hari ini (semalam) saya telah dipanggil untuk membincangkan mengenai kontrak saya sebagai ketua jurulatih kebangsaan," katanya.

Semalam, pertemuan tiga penjuru telah diadakan di pejabat MHC, yang melibatkan perbinca­ngan di antara Muhammad Dharma Raj, Setiausaha Agung MHC, Datuk Johari Abdul Aziz dan Timbalan Pengerusi MHC, Datuk Radhakrisnan Nair selama satu jam.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi MHC, Datuk Radhakrisnan Nair menganggap isu itu telah selesai dan kontrak dengan jurulatih itu akan dibuat tidak lama lagi.

“Saya menganggap masalah ini telah selesai apabila kami setuju menyiapkan kontrak mengenai jawatan ketua jurulatih negara bersama Dharma setelah mencapai kata sepakat.

“Dhaarma akan menandata­ngani kontrak tersebut dalam masa terdekat dan dia boleh turun padang bagi mengendalikan sesi latihan bersama pasukan hoki negara seperti biasa," katanya.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998