SENARAI TERAKHIR KE PIALA DUNIA HARI INI?

by - Wednesday, May 21, 2014

 Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) semalam terus berdiam diri status barisan 18 terakhir yang akan memikul cabaran negara di Piala Dunia apabila Presiden Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meminta diberi lebih masa bagi meneliti senarai pemain sebelum diumum kepada pihak media.

Menurut Tengku Abdullah, MHC tidak mahu insiden pemilihan pemain pada Kejohanan Cabaran Juara-juara 1 (CC1) di Kuantan awal bulan ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain atau penyokong kerana ia boleh mengganggu fokus dan tumpuan pasukan.


“Kami sudah menyenaraikan 18 pemain ke The Hague. Saya belum lagi meneliti senarai itu dan berilah sedikit masa, mungkin esok kami akan maklumkan. “Saya tidak mahu kontroversi di CC1 berulang kerana perkara seperti itu boleh mengganggu fokus pasukan,” katanya pada majlis sumbangan penajaan daripada Yayasan Sime Darby (YSD) kepada skuad hoki negara, semalam.



Arena Metro melaporkan kemungkinan besar tiga pemain remaja, Muhammad Rashid Baharom, Muhammad Shahril Saabah dan Muhammad Azri Hassan terlepas tiket ke kejohanan dijadual bermula 31 Mei ini.


Bayangan itu berikutan aksi longlai dipamerkan mereka ketika diberi peluang membuktikan keupayaan di CC1 tempoh hari.


Mereka juga gagal menambat hati Dhaarma Raj.

Pada kejohanan itu, Malaysia yang kini di ranking ke-13 dunia diletakkan dalam kumpulan A bersama Australia, England, Belgium, India dan Sepanyol. Sebelum itu, MHC menerima durian runtuh apabila YSD menyumbang penajaan hampir RM4 juta bagi membiayai perbelanjaan pasukan senior lelaki dan wanita selama dua tahun bermula 1 Julai 2014 hingga 30 Jun 2016.


“Ini antara sumbangan terbesar diterima MHC dari pihak swasta. Bagi pihak MHC saya mengucapkan terima kasih dan berharap akan tampil lebih ramai lagi pihak swasta membantu meningkatkan sukan hoki negara,” katanya.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998