ROSLAN KEMBALI KE SKUAD NEGARA

by - Friday, May 23, 2014

Selepas tersisih daripada Kejohanan Cabaran Juara-juara 1 (CC1) di Kuantan akibat kecederaan, penjaga gol kebangsaan, Roslan Jamaluddin kembali menjadi pilihan ketua jurulatih negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah untuk dibawa ke Belanda.

Kehadiran semula dalam skuad Piala Dunia itu mengejutkan ramai pihak kerana tiada siapa menjangka dia masih mempunyai tempat dalam skuad negara walaupun Dhaarma sebelum ini dilihat sering menggunakan khidmat penjaga gol remaja Muhammad Hafizuddin Othman di belakang S Kumar.


Berusia 36 tahun, Roslan yang pernah beraksi di pentas Piala Dunia di Kuala Lumpur 2002, menganggap panggilan menyertai skuad kebangsaan umpama mimpi buat dirinya.



“Terus terang saya tidak pernah terfikir jurulatih akan memilih saya. Selepas 12 tahun beraksi di Piala Dunia, ini kali kedua saya dapat beraksi semula di pentas tertinggi itu. Saya cukup terkejut kerana masih ada pihak yang yakin dengan keupayaan saya.


“Saya berjanji akan memberikan yang terbaik bagi membalas kepercayaan mereka,” katanya selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Hoki Bukit Jalil, kelmarin.


Roslan dianggap penjaga gol berpengalaman dan pernah membawa cabaran negara di pentas Sukan Olimpik 2000 di Sydney serta Sukan Asia.


Namun, dia mungkin terpaksa bersaing dengan seorang lagi penjaga gol berpengalaman, S Kumar yang kini pemegang gelaran penjaga gol nombor satu negara.


Sementara itu, Dhaarma berkata, asas pemilihan penjaga gol dibuat dengan mengambil kira pengalaman selain persembahan cemerlang Roslan semasa pusingan kelayakan Piala Dunia tahun lalu.

“Walaupun usianya sudah melebihi 30 tahun, itu tidak menjadi masalah besar kerana penjaga gol posisi yang istimewa dalam sukan hoki malah sesiapa yang berumur 35 tahun sekalipun masih boleh beraksi.


“Jangan persoal kehadiran Roslan kerana dia masih layak beraksi selain boleh memberi panduan berguna kepada pemain lain,” katanya.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998