RAZIE,SHARUN TERSENARAI

by - Friday, May 23, 2014

Mohd. Shahrun Nabil Abdullah dan penjaga gol veteran, Roslan Jamaluddin tersenarai dalam skuad 18 pemain yang akan membawa cabaran pasukan hoki negara ke kejohanan Piala Dunia di The Hague, Belanda bulan ini.

Tidak banyak perubahan yang dilakukan oleh jurulatih hoki skuad kebangsaan, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah bagi menghadapi kejohanan itu selain menukar lima pemain negara yang beraksi dalam Cabaran Juara-juara 1 (CC1) di Pahang.

Selain Roslan dan Mohd. Shahrun Nabil, pemain yang tidak beraksi di Kuantan tetapi tersenarai ke Piala Dunia ialah Hafifi Hafiz Hanafi, Muhammad Razie Abdul Rahim dan Muhammad Ramadahan Rosli.


Mereka menggantikan tempat Izad Hakimi Jamaluddin, Azri Hassan, Rashid Baharom, Ahmad Kazamirul Nasruddin dan Hafizuddin Othman.

Menurut jurulatih hoki kebangsaan itu, sebelum ini timbul pelbagai spekulasi dengan mengatakan bekas kapten kebangsaan, Mohd. Shahrun Nabil akan terlepas me­nyertai skuad kebangsaan apabila pemain itu tidak disenaraikan ketika CC1 di Pahang.

"Saya menggugurkan nama Shahrun adalah atas alasan teknikal kerana kami mahu beraksi di CC1 tanpa kehadirannya dan kami mahu mengetahui bagaimana pres­tasi pasukan tanpa peranan dia dalam pasukan.

"Saya ingin menegaskan di sini bahawa spekulasi tersebut banyak mendatangkan masalah kepada kami sebagai pasukan kerana apabila pemain membaca berita yang dibuat oleh media ia boleh mengganggu emosi mereka.

"Selain dia saya turut membawa masuk Razie yang baru saja pulih daripada kecederaan sepenuhnya, begitu juga dengan Ramadahan manakala Hafifi telah menunjukkan prestasi cemerlang.

"Roslan saya masukkan kerana dia cukup berpengalaman dan ini merupakan kejohanan Piala Dunia yang kedua disertainya. Sudah pasti saya mengharapkan pengalamannya itu dapat digunakan," katanya dalam sidang akhbar semalam.

Sebelum ini timbul tanda tanya mengenai peluang Mohd. Shahrun Nabil untuk beraksi dalam kejohanan Piala Dunia pada 31 Mei hingga 15 Jun itu selepas namanya digugurkan daripada skuad ke pertandingan Cabaran Juara-juara 1 (CC1) di Kuantan pada awal bulan ini.

Tambah Muhammad Dhaarma Raj, pasukan negara akan me­ngadakan perlawanan persahabatan dengan Belanda dan dua kelab dari liga divisyen satu negara itu sebagai sebahagian persiapan menghadapi Piala Dunia.

Katanya, perlawanan dengan Belanda akan berlangsung pada 25 Mei manakala dengan dua kelab divisyen satu liga hoki Belanda dijadualkan pada 27 dan 29 Mei.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140522/su_08/Tidak-banyak-perubahan-dalam-skuad-dilakukan#ixzz32Vu1aScu 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998