#CC1 NASIB MENYEBELAHI MALAYSIA DALAM PERLAWANAN PENUH DRAMATIK

by - Friday, May 02, 2014

PENGENDALI Malaysia, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mampu menghela nafas panjang sejurus kejayaan anak-anak buahnya membenam New Zealand pada aksi suku akhir Kejohanan Hoki Cabaran Juara-Juara 1 di Stadium Hoki Indera Mahkota, Kuantan semalam.

Kemenangan 3-2 menerusi penentuan pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 4-4 dalam pertembungan penuh mendebarkan itu sudah pasti memberikan kelegaan buat Dhaarma Raj.

Apa tidaknya, tatkala kejayaan sudah hampir berada dalam genggaman, anak-anak buah Dhaarma Raj terpaksa bertarung pula pada penentuan pukulan penalti.

Malaysia awalnya selesa mendahului 4-1 sebelum pakar pukulan sudut penalti New Zealand, Andy Hayward meledak hatrik pada babak kedua bagi mengikat kedudukan 4-4 selepas tamat masa sebenar.

Kem Malaysia sekali lagi tertekan apabila New Zealand mendahului 2-0 pada awal penentuan pukulan penalti.

Mujur ketangkasan penjaga gol, S. Kumar serta keupayaan tiga pemain muda - Mohd. Firhan Ashaari, Muhammad Shahril Saabah dan Mohd. Fitri Saari menyudahkan pukulan penalti mengesahkan kemenangan Malaysia.

“Bayangkan perasaan kami yang menduduki ranking ke-13 dunia dan masih lagi bergelut untuk mencapai kedudukan lebih baik sehingga kini, berjaya menewaskan pasukan No. 6 dunia (New Zealand).


“Sudah tentu saya gembira. Ini kerana New Zealand adalah muka-muka biasa yang beraksi dalam Piala Dunia, Sukan Komanwel mahupun Sukan Olimpik. Bagi saya, kejayaan ini adalah satu kejutan besar.

“Sejak mula kejohanan ini, kami memang mahu mengelak bertemu New Zealand sehingga aksi final tetapi saya menganggap tuah memihak kepada kami apabila berjaya menewaskan mereka hari ini (semalam).

“Dengan ketiadaan New Zealand, saya percaya pasukan lain gembira dengan keputusan ini yang mana mereka akan berusaha untuk menjuarai kejohanan kali ini,” kata Dhaarma Raj ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dhaarma Raj turut menghamburkan pujian kepada barisan pemainnya yang telah memberikan persembahan cukup bertenaga untuk mengejutkan New Zealand.

“Jika kami melakukan kesilapan, mereka (New Zealand) boleh melakukan tiga atau empat jaringan dalam tempoh 10 minit.

“Walaupun kami mendahului 4-1 tetapi mereka masih boleh mengikat kedudukan 4-4. Namun, saya gembira kerana akhirnya kami berjaya menewaskan mereka menerusi pukulan penalti,” katanya.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998