#CC1 JANGAN AMBIL MUDAH KANADA

by - Saturday, May 03, 2014

MALAYSIA tidak akan mengambil mudah pertemuan menentang Kanada pada aksi separuh akhir Kejohanan Hoki Cabaran Juara-Juara 1 di Stadium Hoki Indera Mahkota, Kuantan, Pahang malam ini.

Biarpun tampil sebagai pasukan pilihan berbanding Kanada, Malaysia tidak mahu terjerat angkara sikap terlalu yakin apabila berdepan lawan nanti.

Bagi ketua jurulatih Malaysia, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, beliau menganggap apa sahaja boleh berlaku pada pusingan kalah mati,

"Meskipun kita (Malaysia) menghuni ranking lebih tinggi apabila berada di tangga ke-13 dunia berbanding Kanada di tangga ke-16, semua itu tidak relevan pada perlawanan esok (malam ini).


"Kedudukan ranking tidak memberi kelebihan kepada sesiapa... pasukan perlu berada pada tahap terbaik untuk menang," kata Dhaarma Raj pada sidang akhbar di Kuantan semalam.

Menurut Dhaarma Raj, meskipun berjaya menewaskan Kanada 4-3 pada aksi terakhir Kumpulan B Selasa lalu, kejayaan itu tidak boleh dijadikan penanda aras buat anak-anak buahnya dan juga pasukan lawan.

"Sebelum ini, New Zealand dikatakan sebagai pasukan pilihan untuk muncul sebagai juara.

"Namun, selepas New Zealand tersingkir, setiap pasukan yang beraksi pada separuh akhir melihat bahawa ia adalah peluang terbaik mereka untuk merebut kejuaraan dan taraf keempat-empat pasukan adalah hampir sama.

"Bagi Malaysia, kami akan fokus pada setiap perlawanan dan mengambil langkah demi langkah. Apabila berjaya menewaskan Kanada, barulah kami akan memikirkan aksi final.

"Namun, sekiranya kami beraksi seperti perlawanan semalam (kelmarin ketika menewaskan New Zealand pada aksi suku akhir), Malaysia pasti menang," katanya.

Sementara itu, kapten Malaysia, Azlan Misron berkata, dia dan rakan-rakan sepasukannya semakin serasi dan berjanji akan memberikan aksi terbaik malam ini.

"Saya harap kejayaan semalam (kelmarin) tidak melekakan pemain, dengan hanya selangkah menuju ke final, saya harap fokus semua pemain kekal pada tahap 100 peratus," katanya.


You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998