#CC1 70 MINIT CUKUP

by - Saturday, May 03, 2014

Kanada akan ber­usaha sedaya upaya menewaskan Malaysia dalam tempoh 70 minit permainan kerana mereka bimbang untuk menghadapi pukulan penalti penentuan dalam perlawanan separuh akhir kejohanan hoki Cabaran Juara-juara 1 yang berlangsung hari ini.

Ketua jurulatih Kanada, Anthony Farry berkata, berdasarkan perlawanan suku akhir, Malaysia jelas memiliki kelebihan menghadapi situasi penalti penentuan ketika bertemu New Zealand kelmarin.

"Justeru itu, kami mahu memastikan mereka tidak dapat peluang itu dan kami akan tewaskan mereka dalam tempoh 70 minit perlawanan," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Rekod pertemuan kedua-dua pasukan memihak kepada tuan rumah yang menewaskan jaguh benua Amerika Utara itu 4-3 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Kanada kemudian mara ke separuh akhir selepas menewaskan Poland 3-2 pada peringkat suku akhir kelmarin.

Sementara itu, ketua pasukan Kanada, Scott Tupper berkata, aksi cemerlang yang ditunjukkan oleh penjaga gol negara, S. Kumar akan diambil perhatian sepenuhnya dalam perlawanan itu nanti.

"Dia merupakan seorang penjaga gol yang hebat, ini bukan satu perkara baharu kerana dia telah ber­aksi dalam tempoh yang agak lama.

"Namun, kami telah melakukan pelbagai kajian ke atas permainannya menerusi video dan akan cuba mengeksploitasi beberapa kelemahan yang ditunjukkan," kata pakar pukulan sudut penalti itu.

Dalam pada itu katanya, pasukannya juga gembira jika penyokong Malaysia memenuhi stadium hari ini kerana mereka akan membantu pasukannya lebih fokus kepada permainan.

"Kami agak kurang bertenaga dalam perlawanan menentang Poland kerana bermain dalam stadium yang kosong.

"Namun dengan kehadiran penonton malam ini akan membuatkan pemain lebih fokus terhadap permainan," katanya.

Sementara itu jurulatih skuad negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah mahu skuadnya mengekalkan momentum ketika menang ke atas New Zealand bagi menghadapi perlawanan hari ini.

Muhammad Dharma berkata, pemain-pemainnya telah bermain de­ngan penuh semangat untuk menang ke atas skuad Kiwi dan me­nunjukkan prestasi memberangsangkan pada perlawanan sebelum ini.

"Saya masih belum fikir me­ngenai perlawanan akhir tetapi kita akan cuba sebaik mungkin untuk menang perlawanan separuh akhir nanti. Selepas itu barulah fikir apa perlu dibuat untuk final pula.


"Tetapi pada saya, dalam situasi ini saya lihat Malaysia dan Kanada tidak banyak beza. Jadi peluang untuk menang itu lebih terbuka namun pemain perlu buat yang terbaik," katanya.

Bekas pemain pertahanan negara itu turut memuji prestasi pemain muda yang katanya telah menunjukkan prestasi agak baik dan berharap ia dikekalkan.

"Contohnya Muhammad Shahril Saabah yang kita masukkan dalam barisan utama kerana dia pakar pukulan sudut penalti. Pada perlawanan kelmarin dia berjaya menghasilkan dua gol.

"Ini merupakan sesuatu yang agak bagus bagi pemain muda kita, cuma saya harapkan mereka kekalkan corak permainan seperti itu untuk menang dengan Kanada nanti," katanya.

Sementara itu, ketua pasukan, Azlan Misron berkata, sebagai sebuah pasukan semua pemain harus saling bekerjasama tidak kira pemain muda atau lama.

"Di dalam pasukan, pemain lama akan memberi panduan kepada yang muda untuk meningkatkan persembahan mereka di dalam pa­sukan kebangsaan," katanya.

Katanya, dia berharap dengan kejayaan menewaskan New Zealand tidak melekakan semua pemain dan mereka seharusnya lebih fokus pada perlawanan separuh akhir ini.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998