SAYA TIDAK PERLUKAN LAYANAN ISTIMEWA

by - Thursday, April 10, 2014

Bekas pemain pertahanan Jerman, Kevin Lim menegaskan dirinya tidak memerlukan layanan istimewa dan simpati dalam perebutan tempat untuk bersama skuad hoki kebangsaan bagi menghadapi kejohanan Cabaran Juara-juara 1 (CC1) yang dijadual bermula 26 April ini di Kuantan.

Keupayaan Kevin akan diuji oleh jurulatih negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah menerusi enam siri perlawanan persahabatan dengan pasukan China bermula Ahad ini hingga 20 April sebelum pengumuman rasmi 18 pemain ke Kuantan dibuat.

Menurut Kevin, dia akan bersaing secara adil bersama pemain lain yang dipanggil menyertai kem latihan negara kerana mahu berada dalam senarai terbaik pasukan kebangsaan.


“Saya sentiasa memandang ke hadapan dan mahu menjadi pemain utama dalam skuad Malaysia, bukan sahaja untuk CC1 tetapi dalam Piala Dunia dan Sukan Asia 2014.

“Dapat bersama pasukan Malaysia adalah sesuatu yang menggembirakan dan saya berharap terpilih ke dalam senarai utama skuad kebangsaan," katanya dalam sidang akhbar pengenalan pemain itu kepada wartawan di sini semalam.

Kevin yang membuat 30 penampilan bersama skuad Jerman tiba di Kuala Lumpur kelmarin dan telah mula menjalani latihan di bawah bimbingan Muhammad Dharma semalam.

Pemain berusia 28 tahun itu dibenarkan menyertai skuad kebangsaan kerana memiliki MyKad berikutan bapanya Git San adalah rakyat Malaysia yang berasal dari Pulau Pinang, manakala ibunya Dagmar merupakan warga Jerman.

Sementara itu, Kevin turut berharap kehadirannya dapat membantu meningkatkan prestasi pasukan negara ke tahap yang lebih baik menerusi pengalamannya bermain dengan gergasi Eropah, Jerman.

“Bagi saya perkongsian ilmu dan pengalaman yang dimiliki penting bagi memastikan rakan sepasukan lebih memahami taktikal pasukan lawan.

“Dalam masa sama juga saya berharap dapat cepat menyesuaikan diri di sini terutama dengan cuaca panas di negara ini," katanya.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998