PENING KEPALA DHARMA

by - Tuesday, April 01, 2014

KURANG sebulan sebelum skuad hoki negara memulakan kempen pada Cabaran Juara-Juara 1 di Kuantan, Pahang bermula 26 April ini.

Bagaimanapun, ketua jurulatih skuad senior negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah masih ‘pening’ memikirkan barisan terbaik pada kejohanan tersebut.


Dhaarma Raj mengakui, beliau sukar membuat keputusan untuk memilih 18 pemain yang akan menggalas cabaran skuad negara pada Cabaran Juara-Juara 1.

Menurutnya, persaingan sihat itu dapat dilihat berdasarkan persembahan setiap pemain, baik remaja mahupun senior pada sesi latihan yang diadakan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil ketika ini.

“Saya seperti tidak percaya melihat kesungguhan 100 peratus diberikan para pemain untuk terpilih mewakili negara pada Cabaran Juara-Juara 1 di Kuantan.

“Saya boleh lihat mereka bersungguh-sungguh semasa latihan. Mereka seperti berentap menunjukkan keupayaan masing-masing dan saya fikir, ia satu petanda positif kepada skuad negara.

“Sudah tentu saya ‘pening kepala’ untuk memilih 18 pemain terbaik jika semua pemain berada pada tahap terbaik.

“Saya mahu mereka mengekalkan perkara positif itu dan cuba membuktikan keupayaan mereka kepada saya pada perlawanan persahabatan menentang China nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Skuad negara dijadualkan menentang China di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada 13 hingga 20 April ini.

Biarpun sedar juara Cabaran Juara-Juara 1 kali ini menawarkan tiket automatik ke Trofi Juara-Juara 2016, Dhaarma Raj lebih gemar menumpukan perhatian memperbaiki kedudukan tempat keempat pada edisi sebelum ini.

“Bagi saya, dengan status selaku tuan rumah kali ini, saya rasa mungkin kami akan dapat lakukan yang lebih bagus daripada pencapaian terbaik sebelum ini iaitu tempat keempat

“Kami patut gunakan peluang ini sebaik mungkin untuk pecahkan pencapaian terbaik selama ini dan jika semuanya berjalan lancar, mungkin kami boleh merebut slot ke Trofi Juara-Juara 2016.

“Lagipun, Cabaran Juara-Juara 1 ini akan menawarkan mata terhadap ranking dunia. Jadi, saya harap kami boleh buat yang terbaik bagi memperbaiki ranking ke-13 dunia ketika ini,” jelasnya.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998